Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Syarifuddin fokus sasar menang di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 SEPT: Md Syarifuddin Azman yakin pasukannya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing semakin mendapat rentak dan terus mencabar sengit perlumbaan kelas WIRA KBS pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.

Pada saingan pembukaan musim ini, pelumba pasukan pernah memegang takhta juara kategori itu tiga tahun berturut-turut pada 2015 hingga 2016 gagal menaiki podium.

Namun, pasukan itu mula bangkit pada pusingan kedua apabila Md Fadlyshah Redzuan menamatkan saingan di tempat ketiga.

Selaku antara pelumba diharap membawa podium kepada pasukan, Md Syarifuddin mula mempamerkan aksi sebenar apabila meraih dua kemenangan pada pusingan keempat di Temerloh dan kelima (Teluk Intan) selepas gagal menamatkan dua perlumbaan pusingan awal tahun ini.

“Pada peringkat awal musim, kami masih mencari dan mencuba pelarasan baharu ingin digunakan tahun ini, namun kami gagal menaiki podium dan saya sendiri gagal menamatkan perlumbaan.

“Hasil kerja keras semua, kami mula bangkit dan terus memperbaiki kesilapan yang ada sehingga akhirnya saya dapat menjuarai dua perlumbaan berturut-turut,” Md Syarifuddin.

Mengulas mengenai peluang mengejar kedudukan keseluruhan dipegang, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) dengan 97 mata, Syarifuddin kini keempat dengan 58 mata berkata, beliau tidak terlalu memikirkannya.

“Perbezaan mata ketika ini agak jauh, namun saya tidak mudah menyerah kalah kerana tidak mustahil untuk mengejar.

“Hanya fokus saya berbeza dan mahu memberi tumpuan memenangi satu demi satu perlumbaan berbanding dengan gelaran,” katanya.