Categories
NASIONAL

Arak metanol: KKM sahkan 19 maut, 14 kritikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 19 individu di sekitar Lembah Klang, maut selepas minum arak yang mengandungi metanol, manakala 14 orang kritikal dan sembilan lagi dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menerima 51 notifikasi kes keracunan dengan 45 kes dilaporkan di Selangor, manakala enam kes dilaporkan di ibu negara.

“Tiga kes membabitkan rakyat tempatan manakala seramai 51 lagi membabitkan warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

“KKM menjangkakan jumlah pesakit akan meningkat berikutan terdapat ramai pesakit datang bagi mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol berkenaan.

“Semua mereka mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan,” katanya satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, semua terbabit menunjukkan tanda dan gejala seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan serta tidak sedarkan diri.

Katanya, gejala atau tanda awal itu dialami dalam tempoh satu atau dua hari selepas mengambil minuman berkenaan.

“Hasil siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah terbabit mendapati semua pesakit membeli minuman sebatian keras di premis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Laporan polis sudah dibuat KKM bagi mengenal pasti pengedar serta pengilang minuman itu termasuk mengenal pasti punca keracunan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar itu di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 serta yang tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, individu menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol.

“KKM terus bekerjasama dengan polis serta agensi terbabit bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan itu.

“Situasi terkini kejadian akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.