Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri hargai usaha pembangunan eSports

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri menghargai usaha dijalankan pihak berkaitan demi pembangunan dan kemajuan eSports yang dianggap sebagai satu profesion, pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan eSports amat menggalakkan, pada masa ini dan kini dianggap setanding sukan fizikal lain, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Salah satu matlamat penganjuran Selangor Cyber Games ialah mempromosi dan membangunkan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Ia juga bagi menarik minat pelabur asing atau syarikat penerbit permainan asing ke Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai salah satu pusat bagi pembangunan industri eSports,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Selangor Cyber Games 2018, di sini, hari ini.

Selangor Cyber Games 2018 adalah edisi kelima dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez di Empire City, Petaling Jaya, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berbangga dengan kejayaan penganjuran Selangor Cyber Games yang semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia amat membanggakan kerana Selangor adalah negeri pertama yang menganjurkan pertandingan itu, sejak 2014.

“Selangor Cyber Games 2018 ini akan disertai lebih 2,200 peserta bersaing dalam enam acara sukan seperti Dota 2, Player’s Unknown Battleground (PUBG), FIFA 19, PES 19, Tekken 7 dan Mobile Legends untuk merebut hadiah keseluruhan RM250,000.

“Buat pertama kali juga kita akan memperkenalkan Push The Limit LAN Party oleh ZOTC iaitu acara istimewa selama 48 jam bermula dari 26 hingga 28 Oktober ini dengan pemain akan berkumpul dan bermain dalam aktiviti berpasukan juga berkongsi idea,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited dengan penganjuran kejohanan itu dan memperlihatkan pelbagai perubahan dilakukan sejak 2014 antaranya meningkatkan kualiti kejohanan serta penambahan jumlah hadiah keseluruhan saban tahun.

Katanya, kejohahan itu juga mencapai tahap antarabangsa bermula pada 2015 dan 2016.

“Sebelum ini, eSports dianggap sebagai aktiviti membuang masa dan paling berkait rapat kerana sebagai punca kepada isu anak kurang berdisiplin di sekolah tetapi kini dilabel sebagai permainan minda membantu meningkatkan fokus serta kemahiran seseorang pemain,” katanya.