Categories
NASIONAL

MOA saran nelayan Selangor usaha ternakan akuakultur

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan nelayan di Selangor untuk mengusahakan ternakan akuakultur secara sendiri bagi mengurangkan sikap kebergantungan bekalan hasil laut dari luar negara.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, selain menangkap ikan, nelayan di Selangor berupaya meningkatkan hasil pendapatan mereka jika mengusahakan ternakan akuakultur itu.

“Pada tahun lalu, Selangor mencatat pengeluar kelima akuakultur terbesar di Malaysia dengan pengeluaran 18,618 tan metrik bernilai RM230 juta.

“Malah, di daerah Klang sahaja pengeluaran hasil akuakultur sejumlah 1,105 tan metrik dengan nilai RM17 juta, sekali gus meningkat 10.6 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini.

Katanya, sistem ternakan utama di daerah Klang adalah sistem sangkar air payau, kultur dasar laut kerang, air tawar tangki simen dan ikan hiasan.

“Bilangan penternak yang mengusahakan ternakan akuakultur di daerah ini adalah 111 orang dengan 92 peratus daripadanya adalah penternak air payau,” katanya.

Pada masa sama, Tze Tzin menegaskan pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan di negeri ini yang menceburkan diri secara serius dalam sektor akuakultur, sekali gus cuba untuk mengusahakannya.

“Kita akan bantu daripada segi penyediaan mesin atau teknologi yang diperlukan jika mereka ini komited menjana ekonomi menerusi aktiviti akuakultur.

“Malah, kementerian juga merancang untuk mempelbagaikan insentif dan bantuan kepada kumpulan nelayan ini, pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan sektor akuakultur lebih maju dan berdaya saing,” katanya.