Categories
SELANGOR

PAKATAN pilihan terbaik, undi pembangkang umpama curah garam ke laut – Halimey

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia diingatkan bahawa reformasi perubahan masa depan lebih gemilang hanya dapat dilaksanakan jika bersama kerajaan memerintah hari ini.

Calon PAKATAN, Halimey Abu Bakar berkata, pilihan terbaik buat rakyat adalah PAKATAN demi menjaga kebajikan rakyat kawasan itu.

“Wakil rakyat pembangkang tidak mungkin dapat berbuat apa-apa untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Mengundi mereka hanya bagaikan mencurah garam ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir kempen PRK Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PAKATAN di sini, hari ini.

Halimey bagaimanapun berkata, beliau bukanlah memperlekehkan kehadiran pembangkang tetapi sebaliknya realiti hari ini menunjukkan suara pembangkang semakin jauh hanyut daripada arus pentadbiran Kerajaan Negeri mahu pun pusat.

Selain memberi jaminan suara pengundi DUN Seri Setia didengari di Dewan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua jabatan serta agensi kerajaan, Halimey turut menegaskan bahawa pembangkang tidak mampu menjayakan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menjadi teras perjuangan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kemenangan saya yang mewakili PAKATAN pada PRK kali ini akan menjadi hadiah terbaik buat pengundi di sini, sempena sambutan hari kebangsaan dan Hari Malaysia yang masih diraikan,” katanya lagi.