Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Swasta digalak perhebat program alam sekitar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pasaraya di Selangor disaran mengadakan program kesedaran kepentingan memulihara alam sekitar untuk masyarakat setempat dengan menggunakan dana kutipan bayaran beg plastik.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap dana terbabit.

“Kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atas pasaraya berhubung hasil kutipan 20 sen untuk penggunaan beg plastik itu.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri menasihatkan dengan kutipan itu mereka boleh mengadakan program alam sekitar bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, pasaraya mempunyai tanggungjawab memastikan bayaran 20 sen yang dikutip itu memberi manfaat kepada alam sekitar dan rakyat Selangor.