Categories
NASIONAL

Azmin nafi umum menang Timbalan Presiden, media salah lapor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau membuat pengumuman akan kemenangannya terlebih dahulu.

Sebaliknya, beliau hanya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi tulen.

“Itu sebab media yang beri laporan tidak tepat. Saya tidak pernah mengatakan saya menang sehingga Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan secara rasmi.

“Ada pihak tersilap membuat laporan. Saya maafkan tetapi saya harap lain kali berhati-hati kerana saya tetap mematuhi peraturan parti,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dikatakan mengumumkan kemenangannya itu dilaman Twitternya.

Ia dibuat berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikumpul sejak hari pertama pemilihan parti itu melibatkan kesemua negeri.

Keputusan tidak rasmi itu turut mengambil kira hasil pengundian di Cabang Julau, Sarawak yang digantung oleh JPP KEADILAN akibat sistem pengundian elektronik digodam.