Categories
SELANGOR

Lebih 20,000 dijangka meriahkan sambutan Deepavali

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 NOV: Kira-kira 20,000 masyarakat India di negeri ini dijangka akan memeriahkan sambutan hari Deepavali yang diadakan di Jalan Tengku Kelana, bermula semalam.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Deepavali atau Diwali tahun ini lebih bermakna apabila bertukar kerajaan.

Beliau menyifatkan seakan suatu ‘cahaya’ yang menerangi perayaan itu tahun ini, selepas ‘kegelapan’ selama 61 tahun berakhir.

“Deepavali atau dikenali sebagai pesta cahaya. Sudah tentu sambutan kali ini sangat bermakna selepas negara diselubungi kegelapan selama lebih 60 tahun.

“Ia menjadi cahaya yang sangat istimewa kepada rakyat seluruh negara apabila kerajaan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu,” katanya kepada SelangorKini di Malam Kebudayaan Deepavali, di sini, semalam.

Ganabatirau berkata, sambutan kali ini turut akan diserikan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shaari, malam ini (4 November).

Katanya, majlis rumah terbuka Deepavali yang diadakan setiap tahun ini dapat mewujudkan suasana serasi antara satu sama lain di kalangan rakyat di negeri ini.

“Ramai yang dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang beragama Hindu dan kita mesti mengukuhkan lagi perasaan muhibah dan harmoni.

“Bukan hanya Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, semua boleh berkumpul merasa makanan dan memahami budaya semua kaum yang ada di negara ini, dan suasana harmoni begini perlulah dikekalkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sebanyak RM1.8 juta juga diperuntukkan kepada penerima Jom Shopping Deepavali bagi tahun ini.

=EZY=