Categories
GLOBAL NASIONAL

Singapura, Malaysia sedia bincang Perjanjian Air 1962

SINGAPURA, 13 NOV: Singapura dan Malaysia telah menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan perbincangan lanjut untuk lebih memahami kedudukan masing-masing dalam Perjanjian Air 1962, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu.

Kementerian itu berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai perbincangan antara Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

“Kedua-dua pihak menyatakan pandangan mereka yang berbeza mengenai hak untuk mengkaji semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962,” kata jurucakap kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Perjanjian Air 1962 merupakan satu daripada perkara yang dibangkitkan semasa pertemuan dua hala antara beliau dan Lee.

“Kami telah membangkitkan beberapa isu sebelum ini yang dianggap sebagai kontroversi,” kata Dr Mahathir kepada sekumpulan media Malaysia pada Isnin.

“Saya berpendapat saya perlu menyatakan pendirian kita tentang perkara itu. Saya rasa dari setiap segi, beliau (Lee) agak mudah berurusan. Beliau mendengar pandangan saya dan saya rasa beliau lebih bersikap terbuka untuk membincangkan perkara ini berbanding sebelum ini… sebelum ini, mereka hanya menolak semua usaha untuk mengadakan perbincangan semula,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada Singapura bersetuju untuk menyemak semula harga semasa, Dr Mahathir berkata: “Mereka tidak menyatakan bahawa mereka bersetuju, tetapi sekurang-kurangnya mereka kelihatan bersedia untuk menyatakan pandangan mereka dan bagi kami untuk menyatakan pandangan kami.”

Mengenai langkah berikutnya, Dr Mahathir berkata beberapa pegawai (dari kedua-dua negara) akan bertemu dan berbincang (mengenai perkara itu).

Perbincangan dua hala itu merupakan yang pertama buat kedua-dua pemimpin berkenaan. Ia diadakan di The Istana di sini pada Isnin.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan yang luas mengenai isu dua hala dan serantau semasa mesyuarat itu.

SUMBER: BERNAMA