Categories
PBT SELANGOR

Harga kompaun dan tunda MPSJ naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 7 DIS: Kadar kompaun dan tundaan kenderaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan dinaikkan kepada RM260, bermula 2 Januari 2019.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kadar yang dinaikkan dari RM132 itu untuk semua kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di pentadbiran MPSJ.

Katanya, kadar baru itu dikenakan bagi membentuk dan mendisiplinkan masyarakat supaya mematuhi peraturan, sekali gus mengurangkan permasalahan halangan lalu lintas, di kawasan berkenaan.

“Keputusan menaikkan kadar kompaun dan tundaan kenderaan ini diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Bil 09/2018 bertarikh 18/10/2018 serta Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya Bil 10/2018 bertarikh 25 Oktober 2018,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemilik kenderaan yang ditunda juga perlu menjelaskan bayaran komapauntertunggak (jika ada) sebelum kenderaan dilepaskan.

“Justeru, MPSJ menyeru orang awam untuk mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan dan meletakkan kenderaan di dalam petak letak kenderaan.

“Ini bagi mengelakkan tindakan penguat kuasaan dikenakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta ) Majlis Perbandaran Subang Jaya 2007 (Pindaan) 2011,” katanya.

Kadar bayaran kompaun trafik dan tunda itu membabitkan kompaun (RM50), tunda (RM200), kos simpanan (RM10) sehari.

Jumlah bayaran akan bertambah mengikut bilangan hari kos penyimpanan kenderaan.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini (sehingga November 2018), MPSJ mengeluarkan 6,462 notis tawaran kompaun serta tindakan tundaan kenderaan kepada pesalah lalu lintas.