Categories
AGENDA NASIONAL

Kudrat terbatas akibat kemalangan, tetap gigih beri khidmat tunda kereta percuma

DENGKIL, 28 DIS: Walaupun kesihatan diri kurang memuaskan ekoran kecederan teruk selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahun lepas, situasi itu tidak melunturkan niat murni K Maniam Rajoo, 46, untuk menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal secara percuma kepada mangsa banjir dekat sini.

Beliau berkata selepas mengalami patah di kedua-dua belah tulang rusuk, leher serta kaki kanan akibat kemalangan itu, pergerakan dan tenaga beliau tidak seperti sebelumnya, namun apabila kudratnya didamba bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan, terutama di saat yang kritikal, beliau tetap bangkit untuk menyahut panggilan.

Katanya susulan kejadian banjir besar 18 Dis lepas, beliau bersama empat rakannya turut menyumbang tenaga mereka dengan ikhlas, tanpa bayaran, untuk menunda kereta serta motosikal, sebaik sahaja dihubungi beberapa jiran yang meminta mereka menunda kenderaan agar tidak ditenggelami air, atau untuk dihantar ke bengkel.

K Maniam Rajoo memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis ketika tinjauan di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Kesemua jiran dan rakannya itu tinggal berhampiran kawasan kediamannya di Pangsapuri Jenderam Indah, di sini.

“Mereka tahu saya buat bisnes (perniagaan) perkhidmatan tunda dan saya ada lori kren. Ketika itu (18 Dis) air sudah mulai naik paras pinggang orang dewasa di kawasan kediaman kami,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

“Saya pun bergegas ke lokasi sekitar pukul 8 malam berdasarkan maklumat dari pemanggil. Kami tunda kereta dahulu ke tempat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga lori kren bagi muatan lima tan, 10 tan dan 15 tan.

Menurutnya sehingga kini 20 kereta dan 15 motosikal telah ditunda ke bengkel bagi tujuan pembaikan setelah banjir surut sejak tiga hari lepas.

“Saya harap perkara ini dapat diuar-uarkan sebab ramai tidak tahu saya tawarkan perkhidmatan ikhlas ini secara percuma. Niat saya ikhlas, jadi saya bantu untuk tunda sampai ke bengkel yang mereka tetapkan supaya mereka puas hati dengan perkhidmatan saya dan mempercayai saya,” kata beliau yang berasal dari Changlun, Kedah.

Sementara itu pemilik bengkel motosikal NPS Motorcycle Workshop, A Devarajoo, 42, berkata beliau mengenakan harga berpatutan kepada pemilik yang menghantar motosikal mereka untuk dibaiki setelah rosak akibat bencana banjir, memandangkan mereka perlu membiayai pelbagai kos kerosakan barangan lain.

A Devarajoo membaiki motosikal milik salah seorang mangsa banjir di bengkel miliknya, NPS Motorcycle Workshop di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Anak jati Selangor itu berkata dengan bantuan dua pekerjanya, beliau sedaya upaya akan menyiapkan kerja-kerja pembaikan motosikal agar dapat dipulangkan kepada pemilik dengan segera, dan biasanya kos yang dikenakan adalah antara RM100 dan RM200 sahaja.

“Biasanya motosikal yang ditenggelami banjir akan rosak pada bahagian ‘palam pencucuh’ dan penapis udara. Selepas baiki, saya akan servis dengan menukar minyak hitam,” katanya yang baharu memulakan operasi bengkel di Kampung Lalang, di sini tiga bulan lepas.

Pemilik bengkel kereta ZAS Auto, Mohd Hamizul Jubri, 46, pula berkata sehingga kini beliau menerima hampir 10 kereta daripada pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam yang perlu dibaiki selepas rosak akibat banjir.

Mohd Hamizul Jubri memulakan kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkel miliknya ZAS Auto, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Mekanik yang telah membuka bengkel sejak empat tahun lepas itu berkata antara masalah yang dihadapi kereta ditenggelami air adalah masalah elektrik, enjin atau ‘gear box’ dan sistem penghawa dingin dimasuki air.

“Walaupun kerja agak rumit, tapi saya anggap kereta-kereta ini macam kereta saya sendiri. Saya akan buat kerja dengan teliti agar pemilik berpuas hati dan tiada istilah harga tinggi. Saya caj pada harga berpatutan yang penting mereka puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Liga Hoki Malaysia tunda ke Julai atau Ogos

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan bermula Khamis ini, ditunda ke Julai atau Ogos depan.

Penangguhan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh dalam satu sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Penundaan itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 26 Januari ini.

Keputusan untuk menunda kejohanan itu juga dibuat selepas perbincangan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pertandingan, pengurus pasukan yang mengambil bahagian serta barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM.

“Mengikut perancangan Jawatankuasa Pertandingan, kami bercadang menganjurkan semula kejohanan tersebut pada bulan Julai atau Ogos, atau mana-mana tarikh yang bersesuaian di mana semuanya bergantung kepada situasi semasa.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pasukan yang bertanding pada tahun ini kerana memberikan kerjasama yang cukup baik,” katanya.

TNB MHL 2021 yang dijadualkan bermula pada 14 Januari hingga 20 Februari bagi kategori lelaki dan 20 Januari hingga 20 Februari bagi kategori wanita, sepatutnya menjadi kejohanan pertama dalam kalendar kejohanan KHM bagi 2021.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Harga kompaun dan tunda MPSJ naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 7 DIS: Kadar kompaun dan tundaan kenderaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan dinaikkan kepada RM260, bermula 2 Januari 2019.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kadar yang dinaikkan dari RM132 itu untuk semua kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di pentadbiran MPSJ.

Katanya, kadar baru itu dikenakan bagi membentuk dan mendisiplinkan masyarakat supaya mematuhi peraturan, sekali gus mengurangkan permasalahan halangan lalu lintas, di kawasan berkenaan.

“Keputusan menaikkan kadar kompaun dan tundaan kenderaan ini diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Bil 09/2018 bertarikh 18/10/2018 serta Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya Bil 10/2018 bertarikh 25 Oktober 2018,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemilik kenderaan yang ditunda juga perlu menjelaskan bayaran komapauntertunggak (jika ada) sebelum kenderaan dilepaskan.

“Justeru, MPSJ menyeru orang awam untuk mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan dan meletakkan kenderaan di dalam petak letak kenderaan.

“Ini bagi mengelakkan tindakan penguat kuasaan dikenakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta ) Majlis Perbandaran Subang Jaya 2007 (Pindaan) 2011,” katanya.

Kadar bayaran kompaun trafik dan tunda itu membabitkan kompaun (RM50), tunda (RM200), kos simpanan (RM10) sehari.

Jumlah bayaran akan bertambah mengikut bilangan hari kos penyimpanan kenderaan.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini (sehingga November 2018), MPSJ mengeluarkan 6,462 notis tawaran kompaun serta tindakan tundaan kenderaan kepada pesalah lalu lintas.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pusingan kedua Cub Prix di Temerloh ditunda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 APR: Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Temerloh, Pahang, yang dijadualkan berlangsung 5 dan 6 Mei ini ditunda pada satu tarikh akan ditetapkan.

Keputusan itu dibuat penganjur kerana ia hampir dengan tarikh berlangsung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

“Atas nasihat dan perbincangan bersama Kerajaan Pahang, diumumkan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Temerloh ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tunda empat bas, satu lori

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 SEPT: Empat bas ditunda Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 7, Seksyen 24 dan Seksyen 25 selain satu lori ditunda di Seksyen 25 menerusi Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi dilaksanakan secara berkala bagi mengesan dan membanteras masalah kenderaan berat yang diletakkan, di kawasan awam.

“Tindakan mereka mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kediaman khususnya bertingkat.

MBSA TUNDA (1)“Ia juga menyebabkan kerosakan kawasan hijau atau rizab, menghalang lalu lintas serta mengehadkan pemandangan pengguna jalan yang lain akibat saiz kenderaan besar,” katanya dalam kenyataan.

Operasi disertai kakitangan Jabatan Penguatkuasaan, Bahagian Perundangan, Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MBSA serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagi kenderaan berat yang tidak dialihkan, iaakan ditunda dan dikenakan kompaun tundaRM300.

Caj bagi kos penundaan itu juga boleh meningkat kepada RM2,000 sementara caj bagi simpanan di depoh adalah RM50 sehari.

Dua caj itu tidak termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus.

Categories
NASIONAL

MH127 ke Perth ditunda

SHAH ALAM, 22 MEI: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH127 yang sedang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di (KLIA) Sepang menuju ke Perth, Australia tidak meneruskan penerbangan kerana sebuah tayar pesawat itu disyaki pecah.

MH01 AirbusMAS dalam satu kenyataan di dalam Facebook dan Twitternya berkata, hal itu bagi menjaga keselamatan penumpang dan kapten penerbangan membuat keputusan untuk tidak terus berlepas.

“Oleh kerana itu, MH127 akan beroperasi sebagai MH127D dan berlepas dari KLIA pada jam 7 pagi (22 Mei) dan dijangka tiba di Perth pada jam 12.50 tengahari, pada hari sama.

“Penerbangan balik, MH126 akan beroperasi sebagai MH126D berlepas dari Perth pada jam 1.30 tengaharidan tiba di KLIA, pada jam 7.20 malam hari yang sama,” kata kenyataan itu.

Penumpang yang terbabit diberikan penginapan.

MAS memaklumkan keselamatan adalah keutamaan nombor satu Malaysia Airlines sepanjang waktu dan ia kesal dengan ketidakselesaan yang terpaksa diharungi penumpang.

“Syarikat penerbangan akan menyiasat insiden yang berlaku pada pesawat Boeing 738 itu,” katanya.