Categories
SUKANKINI

Ngauman Harimau Malaya hingga ke Vienna – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 DIS: Rakyat Malaysia masih lagi tersenyum lebar dengan kejayaan skuad Harimau Malaya mengatasi Thailand untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Kehangatan kejayaan itu turut dikongsi beberapa pemimpin negara termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi twitter, Mohamed Azmin berkata, beliau terdengar ‘ngauman’ Harimau Malaya sehingga ke Vienna.

“Tahniah pasukan bola sepak Malaysia berjaya melangkah ke final,” katanya.

Tidak ketinggalan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menzahirkan ucapan tahniah buat pasukan bola sepak kebangsaan melalui laman twitter peribadinya.

Zulkifli berkata, beliau berharap supaya semua pemain Harimau Malaya tidak leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan tertangguh beberapa tahun.

“Moga Harimau Malaya akan menjadi juara,” tulisnya.

Semalam, pasukan bola sepak Malaysia kendalian
Tan Cheng Hoe, berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Keputusan itu memberi kelebihan kepada Malaysia menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam atau Filipina pada perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember nanti.