Categories
SUKANKINI

Tugas berat Harimau Malaya, namun optimis menang

HANOI, 14 DIS: Skuad Harimau Malaya perlu mencatat kemenangan ke atas Vietnam pada aksi final kedua seandainya mahu menjulang Piala AFF Suzuki 2018, yang berlangsung esok di Stadium My Dinh, di sini.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, setidaknya pasukan kebangsaan perlu mengikat pasukan Naga Emas itu 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Saya yakin dengan semua pemain, mereka sangat bermotivasi menghadapi perlawanan malam esok.

“Bermain di hadapan penyokong lawan adalah perkara yang sangat berbeza.

“Namun, kami mempunyai pengalaman bermain di luar negara serta mempunyai keputusan yang baik,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.

Pada 11 Disember lalu, dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan dengan perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan 2-2.

Keputusan itu sekali gus menuntut tugas berat anak buah Cheng Hoe yang perlu mencari sekurang-kurangnya dua jaringan di Hanoi serta bolos tidak melebihi dua jaringan sekiranya gagal mencapai kemenangan dalam 90 minit masa permainan pada perlawanan malam esok.

Cheng Hoe turut menggesa barisan pemainnya tidak mengulangi kesilapan melepaskan gol awal kepada pasukan Vietnam seperti dalam dua perlawanan sebelum ini di peringkat kumpulan dan dalam aksi final pertama.

“Kami perlu lebih berhati-hati dengan setiap gerakan serangan yang dimulakan oleh Vietnam.

“Apa yang penting, semua pemain harus ‘enjoy’ dan menikmati suasana perlawanan akhir itu dan bermain dengan tanpa tekanan,” katanya.

Malaysia berpeluang merangkul kejuaraan kali kedua Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya menundukkan Vietnam, malam esok.

Datuk K. Rajagobal menjadi jurulatih tunggal negara yang berjaya menjulang piala berkenaan pada 2010 selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Tiga tonggak kembali perkuat Malaysia hadapi Vietnam

SEPANG, 13 DIS: Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak di bahagian pertahanan, kembali pulih daripada kecederaan untuk aksi berkenaan di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Tiga pemain berkenaan adalah pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pertahanan kiri, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak.

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti.

“Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak dibolosi,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan berkenaan.

Terdahulu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.

— BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Cheng Hoe ada kejutan buat Vietnam esok

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyajikan ‘kejutan’ untuk The Golden Dragons dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Tanpa memberi sebarang bayangan akan kejutan yang menunggu Vietnam, Cheng Hoe yakin anak buahnya mampu mencipta keputusan positif.

“Beraksi di halaman sendiri serta menerima sokongan padu penyokong pasti akan melonjakkan lagi semangat para pemain kita kerana aura di Stadium Bukit Jalil sangat berbeza,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Cheng Hoe bagaimanapun mengakui Vietnam mempunyai barisan pertahanan sangat kental dan menuntut pemain Malaysia berhati-hati semasa melancarkan serangan.

Pada masa sama, beliau mahu anak buahnya menyerap tekanan dengan cepat agar dapat mengawal permainan.

Pada pertemuan malam esok, Malaysia berpeluang membalas dendam tumpas 0-2 di tangan Vietnam ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada aksi separuh akhir.

Malaysia pula ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara bertahan Thailand melalui peraturan gol di tempat lawan sekalipun mencatat keputusan agregat 2-2.

Pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, skuad negara mengikat skuad Gajah Perang itu 2-2 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Dis lepas.

Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 menggunakan format timbal balik.

Skuad negara akan berkunjung ke Hanoi, Vietnam pada 15 Dis ini selepas perlawanan final pertama di sini malam, esok.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Ngauman Harimau Malaya hingga ke Vienna – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 DIS: Rakyat Malaysia masih lagi tersenyum lebar dengan kejayaan skuad Harimau Malaya mengatasi Thailand untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Kehangatan kejayaan itu turut dikongsi beberapa pemimpin negara termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi twitter, Mohamed Azmin berkata, beliau terdengar ‘ngauman’ Harimau Malaya sehingga ke Vienna.

“Tahniah pasukan bola sepak Malaysia berjaya melangkah ke final,” katanya.

Tidak ketinggalan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menzahirkan ucapan tahniah buat pasukan bola sepak kebangsaan melalui laman twitter peribadinya.

Zulkifli berkata, beliau berharap supaya semua pemain Harimau Malaya tidak leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan tertangguh beberapa tahun.

“Moga Harimau Malaya akan menjadi juara,” tulisnya.

Semalam, pasukan bola sepak Malaysia kendalian
Tan Cheng Hoe, berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Keputusan itu memberi kelebihan kepada Malaysia menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam atau Filipina pada perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember nanti.