Categories
SELANGOR

Pengharaman sisa plastik dilaksana secara berperingkat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Negeri akan mengharamkan kemasukan sisa plastik import ke negeri itu dari masa ke semasa.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kebanyakkan sisa plastik yang diimport dari luar negara adalah dari negara Eropah dan Australia melalui pelabuhan di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah membangkitkan kerisauan berkaitan isu ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan berpendirian bahawa sisa buangan luar negara tidak sepatutnya diimport ke Malaysia.

“Kita perlu mengawal dan menghadkan jumlah tan kemasukan sisa ini. Ini pendirian Kerajaan Negeri dan pada masa sama, kita akan mengharamkan terus kemasukan sisa plastik secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri menyokong keputusan Kerajaan Persekutuan dalam memperketatkan syarat bagi kelulusan lesen mengimport sisa plastik dari luar negara.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri menyokong industri kitar semula ini tetapi import plastik mestilah dikawal dan mengutamakan sisa plastik tempatan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pengilang yang memproses bahan plastik yang diimport dari luar negara, perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Selain itu, katanya, bagi membolehkan sesebuah kilang plastik beroperasi, pemohon perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan kesesuaian tapak dan peralatan pemprosesan yang digunakan, selain wajib mengemukakan maklumat sumber sisa plastik yang dibeli.

“Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan penyitaan kilang-kilang plastik haram yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita juga memantau operasi kilang haram ini yang sememangnya mencemarkan alam sekitar,” katanya.