Categories
SELANGOR

PKT: Rujuk Kerajaan Negeri sebelum buat kenyataan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Pihak yang berkenaan disaran merujuk kepada Kerajaan Selangor terlebih dahulu berhubung menjadikan Shah Alam sebagai kawasan uji kaji pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sepatutnya merujuk Kerajaan Negeri terlebih dahulu berhubung isu itu.

Katanya walaupun kedudukan Khalid selaku Ahli Parlimen diakui tetapi ia melibatkan banyak pihak termasuklah pihak penjawat awam.

“Saya berpandangan adalah sesuatu yang wajar dan bijaksana sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan merujuk Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Pilihanraya Kerajaan Tempatan terutamanya membabitkan Shah Alam yang merupakan pusat pentadbiran Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Dato’ Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) mengambil maklum akan saranan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) untuk tidak melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan dan juga menyambut baik usaha Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) yang mahu mengadakan suatu kajian komprehensif berkaitan pelaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri amat komited untuk meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri ini.

Selain itu, semua pihak diharapkan lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata pilihan raya PBT boleh dimulakan di Shah Alam kerana penduduk di kawasan itu dalam persekitaran yang selesa serta tiada ruang untuk memainkan isu kaum.