Categories
GLOBAL

Tsunami baharu mungkin landa Indonesia

PARIS 25 DIS: Beberapa pakar bencana kelmarin memberi amaran satu lagi kejadian tsunami mungkin melanda Indonesia, sehari selepas hampir 400 orang terbunuh disebabkan letusan gunung berapi yang menghasilkan ombak besar.

“Tsunami itu nampaknya berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut sekitar gunung berapi Anak Krakatau,” kata pensyarah Universiti Terbuka di Britain, David Rothery.

 

Anak Krakatau adalah sebuah pulau yang muncul pada tahun 1928 dalam kawah tinggalan gunung berapi Krakatau yang meragut sekurang-kurangnya 36,000 nyawa dalam letusan besar pada tahun 1883.

Anak Krakatau terletak di antara pulau Jawa dan Sumatera di Selat Sunda, berhampiran beberapa kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

“Walaupun tsunami itu agak kecil, ombak sedemikian penuh dengan pelbagai serpihan berbahaya dan boleh meragut nyawa penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pandai, lebih-lebih lagi jika tiada amaran awal,” jelas pensyarah Universiti Portsmouth di Britain, Ri­chard Teeuw.

Gunung berapi itu semakin aktif sejak Jun lalu, jelas pensyarah Universiti Paris-South, Jacques-Marie Bardintzeff.

Tsunami terbaru itu adalah yang ketiga melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan lalu. Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif yang terletak di zon Lingkaran Api Pasifik.

“Kebarangkalian satu lagi kejadian tsunami di Selat Sunda masih tinggi selagi gunung berapi Anak Krakatau kekal dalam fasa aktif ke­rana ia mungkin menyebabkan tanah runtuh dasar laut berulang,” dakwa Teeuw.

Bardintzeff turut memberi peri­ngatan supaya semua pihak berwaspada kerana gunung berapi itu sudah tidak stabil.

SUMBER: AFP