Categories
GLOBAL

Tsunami: BMKG Indonesia minta jauhi kawasan pantai

SERANG, 26 DIS: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengeluarkan satu amaran pada lewat Selasa malam bahawa fenomena tsunami Selat Sunda masih berlaku susulan gegaran berterusan di cerun Gunung Berapi Anak Krakatau, selain cuaca melampau di sekitar gunung berapi itu ketika ini.

Amaran itu didedahkan oleh Pengerusi BMKG, Dwikorita Karnawati, pada satu sidang akhbar di pejabatnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata aktiviti gunung berapi yang kuat di Gunung Berapi Anak Krakatau, cuaca melampau dan ombak tinggi di Selat Sunda boleh menyebabkan satu lagi runtuhan di kawasan gunung berapi itu yang mungkin mengakibatkan satu lagi fenomena tsunami pada bila-bila masa apabila ia terhumban ke dalam laut.

“Adalah dikhuatiri bahawa ia mungkin berpotensi menyebabkan tsunami sama seperti hipotesis kami mengenai tsunami yang berlaku pada 22 Dis,” kata Dwikorita.

“Berdasarkan semua situasi itu, kami menggesa orang ramai sentiasa berjaga-jaga dan menjauhkan diri dari kawasan pantai sekurang-kurangnya dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer,” katanya.

Aplikasi mudah alih akan disediakan oleh BMKG bagi membolehkan orang ramai memantau aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau daripada gajet mereka, kata beliau.

Selain aplikasi yang diberi nama InfoBMKG dan MAGMA Indonesia, BMKG juga akan mengemas kini maklumat terkini berkaitan risiko tsunami yang berpunca daripada gunung berapi itu dalam akaun media sosialnya.

“Kami berharap orang ramai akan terus memantau perkembangan maklumat dalam hal ini. MAGMA Indonesia akan memberi amaran awal berkaitan tahap aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau,” kata beliau.

Penyediaan aplikasi mudah alih itu juga bertujuan memperbetul maklumat berikutan penularan maklumat palsu yang kerap di media sosial berkaitan fenomena tsunami Selat Sunda yang telah menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai.

Aplikasi mudah alih itu disediakan terutamanya bagi memantau situasi kecemasan di Selat Sunda serta Gunung Berapi Anak Krakatau, dan tidak tertakluk kepada mana-mana kawasan lain di Indonesia, kata beliau.

Pasukan mencari Indonesia telah menemui sejumlah 429 mayat dari beberapa kawasan terjejas di wilayah Banten, Jawa dan wilayah Lampung di Sumatera setakat ini susulan fenomena tsunami yang disebabkan oleh aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau.

Bencana itu turut menyebabkan lebih 1,400 orang cedera, memusnahkan beratus-ratus rumah dan kapal serta menyebabkan lebih 16,000 orang hilang tempat tinggal.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tsunami baharu mungkin landa Indonesia

PARIS 25 DIS: Beberapa pakar bencana kelmarin memberi amaran satu lagi kejadian tsunami mungkin melanda Indonesia, sehari selepas hampir 400 orang terbunuh disebabkan letusan gunung berapi yang menghasilkan ombak besar.

“Tsunami itu nampaknya berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut sekitar gunung berapi Anak Krakatau,” kata pensyarah Universiti Terbuka di Britain, David Rothery.

 

Anak Krakatau adalah sebuah pulau yang muncul pada tahun 1928 dalam kawah tinggalan gunung berapi Krakatau yang meragut sekurang-kurangnya 36,000 nyawa dalam letusan besar pada tahun 1883.

Anak Krakatau terletak di antara pulau Jawa dan Sumatera di Selat Sunda, berhampiran beberapa kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

“Walaupun tsunami itu agak kecil, ombak sedemikian penuh dengan pelbagai serpihan berbahaya dan boleh meragut nyawa penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pandai, lebih-lebih lagi jika tiada amaran awal,” jelas pensyarah Universiti Portsmouth di Britain, Ri­chard Teeuw.

Gunung berapi itu semakin aktif sejak Jun lalu, jelas pensyarah Universiti Paris-South, Jacques-Marie Bardintzeff.

Tsunami terbaru itu adalah yang ketiga melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan lalu. Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif yang terletak di zon Lingkaran Api Pasifik.

“Kebarangkalian satu lagi kejadian tsunami di Selat Sunda masih tinggi selagi gunung berapi Anak Krakatau kekal dalam fasa aktif ke­rana ia mungkin menyebabkan tanah runtuh dasar laut berulang,” dakwa Teeuw.

Bardintzeff turut memberi peri­ngatan supaya semua pihak berwaspada kerana gunung berapi itu sudah tidak stabil.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Malaysia sedia bantu mangsa gempa dan tsunami Sulawesi

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam misi mencari dan menyelamat mangsa bencana gempa bumi di Sulawesi, Indonesia.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataannya berkata bagaimanapun, sehingga kini Indonesia masih belum memohon bantuan antarabangsa kerana berpandangan kapasiti dalam negara tersebut masih mencukupi.

“Berdasarkan kepada ‘standby arrangement plan’, Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam aktiviti mencari dan menyelamat yang mana Pasukan Smart Nadma merupakan pasukan Mencari dan Menyelamat Urban (USAR) utama bertaraf INSARAG antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Dua anggota Emergency Response Assessment Team (ERAT) telah dihantar ke Sulawesi petang ini untuk menyertai pasukan ASEAN-ERAT.

“Hasil penilaian oleh pasukan itu akan menjadi asas dan justifikasi untuk Malaysia menghantar bantuan kelak,” kata kenyataan itu lagi.

Gempa gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada pukul 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia) pada Jumaat turut mengakibatkan tsunami di kawasan pantai Palu.

Tsunami setinggi tiga meter itu berlaku pada pukul 5.27 petang waktu Indonesia Timur, kira-kira 22 minit selepas gempa kuat menggegarkan wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.

SUMBER: BERNAMA