Categories
EKONOMI NASIONAL

KKMM bakal umum polisi rancak pertumbuhan industri pemula niaga

SHAH ALAM, 29 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bakal mengumumkan beberapa polisi bagi membantu merancakkan pertumbuhan industri pemula niaga pada pertengahan tahun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, polisi yang disifatkan sebagai dokongan kepada perkembangan industri itu merupakan antara usaha kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula niaga yang kini dilihat membangun dengan pesat serta kukuh.

“Dari segi teknologi masa kini dan masa akan datang termasuk Revolusi Industri 4.0, ini (industri pemula niaga) antara industri yang penting dan saya berpendapat bahawa kerajaan perlu memberikan sokongan dan dokongan untuk menjayakannya.

“Kita perlu memberi penekanan dan fokus kepada industri ini kerana ia adalah satu perkara yang dibangkitkan di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech anjuran HeiTech Padu Berhad (HeiTech) di sini, hari ini.

Program berkenaan diwujudkan khusus untuk menyokong pertumbuhan industri pemula niaga dengan menyasarkan penyertaan syarikat terlibat dalam pembangunan penyelesaian inovatif merangkumi bidang perkhidmatan kewangan, sekuriti, pendidikan serta kesihatan.

Gobind berkata, negara juga mempunyai ekosistem industri pemula niaga yang semakin baik apabila banyak individu tampil dengan pelbagai idea untuk diketengahkan bagi mengembangkan lagi industri tersebut.

“Namun mereka dilihat perlu dibantu daripada aspek kewangan serta teknikal,” katanya.