Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pendidikan penting jadikan negara ‘Harimau Asia’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Peranan pendidikan hari ini dilihat semakin penting bagi menjadikan negara muncul semula sebagai Harimau Asia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendidikan lestari akan menghasilkan modal insan yang pasti meningkatkan daya saing ekonomi.

“Dalam konteks pembangunan di negara ini, saya yakin rakyat Malaysia menyedari peranan pendidikan dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan sejak enam dekad yang lalu. Pembangunan mencipta kemakmuran yang dikongsi 32.4 juta penduduk Malaysia.

“Pendidikan perlu turut menghasilkan pencerahan iaitu penjanaan sikap minda yang kritis, terbuka dan toleran. Pencerahan ini amat penting dalam pembinaan bangsa Malaysia yang majmuk dan pelbagai budaya.

“Pendidikan sejati juga akan menyemai semangat keadilan dan membanteras sikap angkuh serta kebencian terhadap kebejatan seperti amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pendidikan Antarabangsa (International Day of Education) 2019 yang julung kalinya disambut, pada tahun ini.

Sambutan itu susulan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 3 Disember 2018.

Resolusi terbabit diterima oleh perhimpunan itu selain didorong kesedaran dunia terhadap peranan pendidikan dalam mencapai pembangunan yang mampan.

Mohamed Azmin berkata, generasi muda perlu menguasai dan mendakap teknologi baharu dalam menangani cabaran yang datang bersama Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta pelbagai teknologi disruptif.

Katanya, hal itu memerlukan keghairahan dan ketekunan generasi muda dalam mempelajari mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pendidikan STEM amat penting bagi Malaysia untuk maju dan berdaya saing, namun pendidikan tidak bersifat utilitarian semata-mata.

“Justeru, pendidikan adalah sepanjang hayat. Saya menyeru rakyat Malaysia supaya mencintai ilmu serta menggilap semangat untuk belajar dengan berterusan demi memperkayakan diri selain menjadikan Malaysia kuat juga berwibawa,” katanya.