Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

57,710 unit Rumah Selangorku sudah diluluskan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Sebanyak 144 projek membabitkan 57,710 unit Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dari 2016 sehingga 28 Februari lalu.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, daripada jumlah itu, tiga projek membabitkan 888 unit Rumah Selangorku siap dibina dan diserahkan kunci.

“Daripada jumlah itu, 21 projek membabitkan 11,396 unit sedang dalam pembinaan manakala bakinya 90 projek (45,426 unit) masih dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mengikut perincian, Mukim Dengkil mempunyai jumlah projek tertinggi dengan 17 projek membabitkan 9,178 unit diikuti Rawang dengan 12 projek (7,842 unit) dan Tanjung Dua Belas, 10 projek (4,100 unit).

Dalam jawapan sama, Haniza turut memaklumkan, seramai 123,352 pemohon masih belum berjaya mendapatkan Rumah Selangorku sehingga 1 Mac lalu.