Categories
SELANGOR

62 projek terbengkalai diselesaikan sejak 2008

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 62 projek perumahan terbengkalai berjaya diselesaikan dari Mac 2008 sehingga Disember 2018 membabitkan 26,361 unit, kata Haniza Talha.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, beberapa pendekatan penyelesaian yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memberikan impak positif walaupun mempunyai bidang kuasa terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja.

“Antara langkah yang diambil adalah pembentukan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) bagi berbincang dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai.

“LPHS turut mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berbincang dengan pihak bank di samping bertemu dengan jabatan teknikal seperti Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mempercepatkan pemulihan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut dikemukakan Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzah di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Haniza berkata, LPHS turut berperanan memberikan nasihat dan panduan kepada pembeli untuk membawa kes mereka ke Kementerian Perumahan dan Kerjaaan Tempatan (KPKT).

“LPHS juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri bentuk tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi menjamin hak pembeli,” katanya.

Katanya, berdasarkan 62 projek terbengkalai yang diselesaikan itu, 44 daripadanya membabitkan projek berlesen (20,292 unit) sementara 18 projek tanpa lesen (6,069 unit lain).