Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tunggu bayaran balik kos bina Jambatan Ketiga Klang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Negeri sedang mengemukakan permohonan tuntutan pembayaran semula kos pembinaan Jambatan Ketiga Klang, yang juga dikenali sebagai Jambatan Raja Muda Nala.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, permohonan itu dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini.

“Penyaluran peruntukan pembangunan jambatan terbabit secara dasarnya telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sze Han berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkenaan perbincangan terkini dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi isu infrastruktur dan kemudahan awam.

Pembinaan Jambatan Ketiga Klang bernilai kira-kira RM199 juta itu dibina sepanjang 2.5 kilometer merentasi Sungai Klang dari persimpangan Sungai Udang dan berakhir di Tanjung Syawal.

Jambatan yang dibina pada Julai 2014 itu bertujuan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyuraikan trafik sekitar Klang.

Untuk rekod, Raja Muda Nala, adalah putera kepada Sultan Selangor yang pertama, Sultan Sallehuddin Shah.