Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

YDP MPSJ terima anugerah khas KPKT

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan, menerima Anugerah Khas Wanita Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Kategori Pegawai / Kakitangan Sektor Kerajaan Tempatan.

Anugerah berkenaan disampaikan Menterinya, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya, Azrafizal Abdul Rashid berkata, penganugerahan itu diberikan atas sumbangan dan jasa beliau di atas usaha pembangunan wanita.

“Antaranya inisiatif menjadikan MPSJ sebagai Bandar Mesra Wanita dan Program Pemberdayaan Komuniti Setempat melalui Projek Rejuvenasi Pangsapuri Enggang dan Pangsapuri Bandar Bukit Puchong.

“Penganjuran sambutan itu bertujuan memberi penghargaan kepada warga kerja wanita yang banyak menyumbang bakti dari pelbagai peringkat.

“Sambutan bertemakan ‘Balance for Better’ ini bertujuan memberi inspirasi kepada wanita untuk mengimbangi komitmen dan tanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

Terdahulu, bekas YDP Majlis Daerah Hulu Selangor itu mengangkat sumpah sebagai YDP MPSJ pada 3 Januari tahun lalu.

Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sama ketika menerajui Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hampir 11 tahun serta mempunyai pengalaman luas lebih 25 tahun dalam bidang perancangan pembangunan.

Pelantikan beliau itu menjadikannya wanita kedua menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar di Selangor selepas Datin Paduka Alinah Ahmad yang ketika itu bergelar Datuk Bandar Petaling Jaya pada 2013.