Categories
SELANGOR

Sampah haram: Kerajaan Negeri bakal rampas tanah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APR: Tindakan tegas termasuk rampasan tanah menanti mereka yang ingkar arahan membersihkan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok, di sini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, ini kerana Notis 7A sudah dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor hujung tahun lalu, namun arahan membersihkan tapak itu mengikut tempoh ditetapkan tidak diendahkan.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri meminta Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor mengeluarkan Notis 7B iaitu tindakan rampasan tanah dilakukan serta-merta.

“Saya dimaklumkan tanah ini mempunyai lima tuan tanah dan Notis 7A sudah diberikan namun mereka tetap ingkar dan tidak mengikut arahan untuk membersihkan kawasan ini mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Sakit hati melihat kawasan tapak pertanian termasuk sungai berhampiran sini tercemar sekali gus hilang keindahannya akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak pembuangan sampah haram di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) juga akan melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap tuan tanah dengan menyita lori yang didapati terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah haram.

Berdasarkan rekod, isu pembuangan sampah haram di kawasan terbabit berlarutan sejak 2016 dan sering dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Ekoran itu, Sze Han turun ke tapak terbabit bagi melihat sendiri dan didapati terdapat sebuah lori dan pemandu yang berjaya dicekup sekali gus disita MDKS.