Categories
SELANGOR

Fokus baiki bumbung Stadium Shah Alam – EXCO

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MEI: Proses membaik pulih Stadium Shah Alam wajar dijalankan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada kerja baik pulih bumbung terlebih dahulu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita akan maklumkan perkara ini kepada Dato’ Menteri Besar untuk mendapatkan peruntukan khas sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Kos membaiki bumbung stadium ini sahaja dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, kos keseluruhan membaik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka mampu mencecah RM190 juta.

Katanya, selain memberi keselesaan kepada penyokong bola sepak Selangor, ia juga adalah persediaan sebelum melobi bagi mendapat hak menjadi tuan rumah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2022.

Pada masa ini, Mohd Khairuddin giat meninjau kemudahan sukan di Selangor sebelum melobi hak penganjuran SUKMA 2022 nanti.

Antara yang sudah dilawati adalah Stadium Shah Alam pada 25 April lalu.