Categories
SELANGOR

Riang Ria Bercerita galak kanak-kanak membaca

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

DENGKIL, 29 MEI: Seramai 30 kanak-kanak dari Perkampungan Orang Asli Bukit Tampoi menyertai Program Riang Ria Bercerita anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di Balai Raya kampung berkenaan, bermula sejak semalam hingga hari ini.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, program julung kali dijayakan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bertujuan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak, khususnya anak orang asal yang tinggal di kawasan terbabit.

“Sepanjang musim cuti ini, kita memberi fokus kepada anak-anak di perkampungan orang asli termasuk golongan B40 dengan menyediakan kemudahan perpustakaan bergerak supaya mereka terbiasa dengan perpustakaan.

“Kita melihat golongan ini kurang pendedahan dengan perpustakaan awam termasuk kemudahan perpustakaan bergerak, oleh sebab itu kita menggunakan pendekatan seperti ini untuk memberi peluang kepada mereka membaca dengan cara bercerita.

“Diharapkan minat membaca anak-anak kecil ini sentiasa berterusan sekali gus menggalakkan mereka untuk berkunjung ke perpustakaan awam berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Mengakui dorongan ibu bapa penting dalam memupuk amalan membaca, Pei Nei berkata, pihaknya turut melatih pencerita yang majoriti dalam kalangan suri rumah tangga sepanjang program berkenaan diadakan.

“Selain menggalakkan budaya membaca untuk anak-anak, kita mahu ibu bapa belajar melalui aktiviti ini dan melakukan benda yang sama apabila berada di rumah kerana anak-anak lebih banyak meluangkan masa bersama ibu bapa serta ahli keluarga.

“Kita mahu menjadikan budaya membaca ini bukan sahaja di perpustakaan, tetapi paling penting mewujudkan suasana seperti ini di rumah dan komuniti,” katanya.