Categories
GLOBAL

Venezuela cadang Turki sebagai ‘kuasa pelindung’

ANKARA, 16 MEI: Venezuela mencadangkan Turki bertindak sebagai negara yang melindungi kedutaannya di Washington, lapor agensi berita Anadolu.

“AS melantik kerajaan Switzerland sebagai kuasa melindunginya di Caracas, dan kami menghormatinya. Tetapi kita juga memerlukan kuasa asing melindungi kita,” kata duta Venezuela bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Samuel Moncada di sidang akhbar pada Rabu.

“Sebagai contoh, kami mencadangkan Turki. Tetapi mereka (AS) tidak memberikan sebarang maklum balas mengenainya,” tambah beliau.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, jika hubungan antara dua negara tergugat, kedua-dua pihak boleh memilih negara ketiga sebagai kuasa yang menjadi pelindung.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu apabila pembangkang membantah Presiden Nicolas Maduro, mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua.

Keadaan bertambah meruncing apabila pemimpin pembangkang Juan Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, China, Iran, Bolivia dan Mexico menyuarakan sokongan padu mereka terhadap Maduro.

– BERNAMA