Categories
GLOBAL

Venezuela cadang Turki sebagai ‘kuasa pelindung’

ANKARA, 16 MEI: Venezuela mencadangkan Turki bertindak sebagai negara yang melindungi kedutaannya di Washington, lapor agensi berita Anadolu.

“AS melantik kerajaan Switzerland sebagai kuasa melindunginya di Caracas, dan kami menghormatinya. Tetapi kita juga memerlukan kuasa asing melindungi kita,” kata duta Venezuela bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Samuel Moncada di sidang akhbar pada Rabu.

“Sebagai contoh, kami mencadangkan Turki. Tetapi mereka (AS) tidak memberikan sebarang maklum balas mengenainya,” tambah beliau.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, jika hubungan antara dua negara tergugat, kedua-dua pihak boleh memilih negara ketiga sebagai kuasa yang menjadi pelindung.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu apabila pembangkang membantah Presiden Nicolas Maduro, mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua.

Keadaan bertambah meruncing apabila pemimpin pembangkang Juan Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, China, Iran, Bolivia dan Mexico menyuarakan sokongan padu mereka terhadap Maduro.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Venezuela tutup kawasan bersempadan dengan Brazil

CARACAS, 22 FEB: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Khamis telah mengarahkan agar kawasan selatan negara itu yang bersempadan dengan Brazil ditutup, lapor agensi berita China Xinhua.

“Saya telah memutuskan bahawa di selatan Venezuela, mulai jam 8 malam ini, Khamis 21 Februari, kawasan yang bersempadan dengan Brazil akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

Langkah itu akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak, kata presiden terbabit ketika bertemu pemerintah tertinggi Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivarian.

Tindakan itu diambil susulan “provokasi” yang didakwa beliau dilakukan kerajaan sayap kanan Brazil.

Maduro berkata, Venezuela juga sedang mempertimbang penutupan sempadannya dengan Colombia.

“Saya tidak mahu membuat keputusan seperti ini namun saya sedang menilai penutupan sepenuhnya kawasan yang bersempadan dengan Colombia,” katanya, lapor BERNAMA.

Colombia mahupun Brazil telah bersekutu dengan pembangkang Venezuela dan kempennya untuk menyingkirkan Maduro serta Parti Sosialis Venezuela (PSUV) yang memerintah daripada berkuasa.

Presiden itu turut menggesa pasukan bersenjata Colombia agar menahan diri daripada mengambil bahagian dalam gerakan yang didalangi Washington, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan pada 23 Februari yang pegawai Venezuela percaya adalah dalih untuk melakukan campur tangan ketenteraan.

“Tanggungjawab “bagi sebarang keganasan yang meletus di sempadan antara Colombia dan Venezuela dipikul oleh (Presiden Colombia) Ivan Duque”,” katanya.

Pada Rabu, Caracas mengumumkan penggantungan laluan udara dan maritim bagi tempoh yang tidak ditetapkan dengan jirannya Kepulauan Aruba, Curacao dan Bonaire.

Ketegangan politik antara kumpulan penyokong kerajaan dan pembangkang di Venezuela semakin memuncak selepas Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 10 Januari lalu.

Pembangkang, yang kebanyakannya memboikot pilihan raya Presiden pada Mei tahun lalu, enggan mengiktiraf kemenangan Maduro dan telah mendesak agar pusingan baharu pengundian diadakan.

Categories
GLOBAL

Venezuela panggil pulang pegawai diplomatiknya di AS

CARACAS, 25 JAN: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumumkan akan memanggil pulang pegawai diplomatiknya dari Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Anadolu.

Katanya, semua kakitangan diplomatik akan meninggalkan AS mulai esok selepas kedutaan dan konsulatnya di negara itu ditutup.

Langkah itu diambil sehari selepas Maduro mengumumkan Venezuela memutuskan hubungan diplomatik dengan Washington dan memberi tempoh 72 jam kepada diplomat AS untuk meninggalkan Caracas.

Washington tidak mengendahkannya dan mengatakan pegawai diplomatik akan terus tinggal di negara itu atas jemputan pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido.

Guaido mengistiharkan dirinya presiden sementara Venezuela selepas ribuan penunjuk perasaan berarak menentang penggal baru pemerintahan Maduro apabila pemimpin itu dilihat gagal mengatasi masalah ekonomi.

Semalam, AS menyeru negara di dunia Barat bersama-sama mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara sekali gus menjadikan kerajaan Venezuela diiktiraf antarabangsa.

Negara lain turut menyuarakan sokongan terhadap Guaido seperti Argentina, Brazil, Kanada, Chile, Colombia, Costa Rica, Guatemala, Honduras, Panama, dan Paraguay menerusi Kumpulan Lima.

– BERNAMA