Categories
AGENDA NASIONAL

Kejayaan MAHB urus ISGIA Turki bukti keupayaan syarikat Malaysia

ISTANBUL, 27 JUL: Kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), lapangan terbang kedua terbesar di Turki, membuktikan syarikat dari Malaysia berkeupayaan untuk turut berjaya di negara lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini juga menunjukkan syarikat dari Malaysia mampu mengembangkan operasi mereka di luar negeri.

Katanya MAHB turut mengurus lapangan terbang di beberapa negara lain, namun ISGIA, yang dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, adalah yang terbesar dengan 34 juta trafik penumpang setahun.

“ Ini jauh lebih besar daripada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sendiri. Pengurusan lapangan terbang ini sesuatu yang istimewa. Ada orang iktiraf kebolehan kita dalam bidang ini dan banyak beri peluang,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke Turki di ISGIA di sini, hari ini.

Pada 26 Julai laliu, Dr Mahathir melawat ISGIA, yang diambil alih sepenuhnya oleh MAHB pada 2014, dan melihat operasinya.

Dibuka pada Januari 2001, lapangan terbang itu juga adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Turki selain merupakan lapangan terbang satu landasan dan terminal paling sibuk di dunia.

ISGIA, terletak kira-kira 45 km dari pusat bandar Istanbul, mencatatkan pergerakan trafik penumpang sebanyak 16.7 juta sehingga Jun lepas (separuh pertama 2019), meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada 2018, ISGIA mencatatkan pergerakan trafik penumpang 34.1 juta dan pendapatan sebanyak RM1.15 bilion.

– BERNAMA