Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah 360 Smart Selangor janji kepuasan warga Klang 

SHAH ALAM, 30 OGOS: Orang ramai khususnya warga Klang dan daerah berhampiran dipelawa memeriahkan Jelajah 360 Smart Selangor yang bakal berlangsung di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar, pada  6 hingga 8 September ini.

Jelajah berkonsepkan karnival yang memasuki siri keenam itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kolaborasi erat Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, karnival selama tiga hari itu menjanjikan kepuasan kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik bermula jam 9 pagi hingga 11.30 malam.

“Antara aktiviti disediakan ialah Trak Realiti Maya Smart Selangor 2025, Alami Smart Selangor, Smart Busker, Jom Lepak di PPAS, Smart Bazaria bola keranjang dan Smart Digital Infrastructure.

“Selain itu, kita juga menyediakan gerai pameran agensi, program Santai@UNISEL, kaunter pendaftaran UNISEL, Zumbathon, Soopa Doopa, Bumble Bee & Ultraman, Upin & Ipin Store, e-sukan dan cabutan bertuah.

“Malah, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi terkenal tanah air pada Konsert Alami Smart Selangor yang menampilkan barisan artis seperti Aishah, Sabhi Saddi, Mark Adam, Aiman Tino, Isma AF, Shiha Zikir, Zulhuzaimy dan Sarah Fazmy.

“Bagi peminat pasukan bola sepak Selangor, mereka boleh bertemu secara langsung dengan pemain menerusi acara ‘Meet & Greet’,” katanya.

Untuk rekod, Jelajah 360 Smart Selangor sebelum ini sudah berlangsung di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kajang.

Pada masa sama, Hasril berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada MBI kerana memberi peluang dan kepercayaan penuh untuk menjadi rakan sinergi dalam membantu melaksanakan program terbabit.

“Jelajah ini memberi pendekatan secara terus khususnya dalam mempromosi Smart Selangor dan menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat di Selangor.

“Kita berharap program ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan adanya capaian maklumat (iklan) menerusi dalam talian,” katanya.

Juara program realiti, Man Raja Lawak sekali lagi dipilih sebagi hos yang akan mengendalikan acara pentas pada program berkenaan.