Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Rakyat tidak dapat gambaran sebenar kejayaan kerajaan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Rakyat tidak mendapat gambaran sebenar tentang kejayaan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak mentadbir negara setahun lepas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pelbagai tuduhan kononnya kerajaan tidak disukai rakyat adalah disebabkan segelintir pihak yang ekstrem bertindak memburuk-burukkan kerajaan hingga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Hari ini kita bermesyuarat tentang pelbagai perkara termasuk dakwaan kalau ‘hari ini ada pilihan raya, PAKATAN akan kalah’. Jadi kita ingin tahu sebab apa dan kita bincang panjang lebar.

“Kita dapati, kesalahan itu tiada. Tapi komunikasi kita kurang baik. Kita dapat begitu banyak press (media), tetapi bila kita bercakap tentang kejayaan kita, press (media) tanya soal lain supaya ada kontroversi. Ada press (media) suka kontroversi.

“Kita juga dapati, ada pihak yang menggembar-gemburkan perbezaan soal agama, bangsa dan macam-macam lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN, di sini hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PAKATAN, berkata tindakan sesetengah pihak ekstrem dan laporan negatif sesetengah media itu hanya akan memisahkan dan mencetuskan permusuhan antara kaum di negara ini.

Beliau turut menempelak golongan ini yang tidak bersyukur dengan keamanan yang telah dikecapi di Malaysia berbanding dengan negara lain yang berperang.

“Kalau kita benarkan diri kita dipengaruhi puak ekstrem, media pun api-apikan, jadi kita akan menjadi seperti Timur Tengah yang berperang walaupun satu bangsa dan satu bahasa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PAKATAN akan memperbanyakkan hubungan kerjasama dengan media arus perdana dan media alternatif untuk memberi penerangan mengenai perkara yang berlaku di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya adalah masyarakat yang aman dan perkara ini perlu disyukuri oleh semua.

“Oleh sebab itu, saya minta dan rayu pada media supaya jangan main isu perkauman dan isu agama, kalau nak buat laporan buat laporan yang benar.

“(Sekiranya) benda yang baik kita tidak lapor, dan kita cuma lapor yang tak baik saya khuatir permusuhan antara kaum dan agama apabila sudah berlaku amat sukar untuk kita memadamkannya,” katanya.

Dr Mahathir yakin bahawa PAKATAN akan menang jika pilihan raya dibuat hari ini atau dalam tempoh terdekat.

“Ada yang kata kita akan kalah jika PRU dibuat hari ini. Tapi kita yakin kita boleh menang. Tiada siapa yang ingin ambil balik Datuk Seri Najib kerana kita tahu dia sauk (ambil) duit banyak. Kita tidak ambil duit,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata keputusan telah dicapai sebulat suara agar Temurapat PAKATAN diadakan pada 5 dan 6 Oktober ini, manakala Mesyuarat Agung PAKATAN ditangguhkan selewat-lewatnya 31 Disember.

– BERNAMA