Categories
AGENDA NASIONAL

Sasar 50 peratus usahawan wanita daftar SSM

IPOH, 4 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyasarkan sebanyak 50 peratus usahawan wanita berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, setakat ini hanya 27 peratus usahawan wanita mendaftarkan perniagaan mereka daripada keseluruhan 83,969 usahawan yang direkodkan.

“Kita dapati ramai lagi yang telah membuka perniagaan tetapi tidak berdaftar. SSM merupakan dokumen asas sekiranya usahawan wanita ingin pergi lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Negeri Perak 2019, di sini, hari ini.

Rina berkata, seramai 204 wanita yang menjadi peserta kursus KEMAS telah dibantu untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM dan menerima Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan pada program itu hari ini.

“Mungkin mereka tidak tahu bagaimana proses dan di mana boleh melakukannya jadi kita bersama SSM membantu mereka bagi memastikan wanita terutama dari luar bandar untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk memajukan diri,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, golongan wanita dinasihatkan supaya membuang perspektif mengenai kebimbangan bahawa mereka tidak layak menerima bantuan seperti Bantuan Sara Hidup apabila berdaftar dengan SSM kerana ia bertujuan bagi mengembangkan keusahawanan mereka.

Dalam pada itu, Rina berkata, peluang pinjaman dari Amanah Iktihar Malaysia (AIM) diharap dapat membantu wanita khususnya dari luar bandar dari semasa ke semasa dalam usaha membawa golongan wanita keluar daripada kemiskinan melalui keusahawanan.

Program sehari itu diperkenalkan bagi memperkasakan wanita secara holistik merangkumi aspek ekonomi, kesihatan, kekeluargaan dan perundangan sebagai menyahut Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar.

– BERNAMA