Categories
AGENDA NASIONAL

RM19 juta naik taraf jalan, bina jalan alternatif

GOMBAK, 10 NOV: Projek menaik taraf Jalan B23 membabitkan Jalan Sungai Tua mampu mengurangkan kesesakkan lalu lintas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek bernilai RM19 juta ini turut membabit pembinaan jalan baru sejauh 600 meter.

“Projek ini adalah menaiktaraf jalan negeri tetapi jalan baru campur jalan dinaik taraf dari Selayang Mutiara hingga simpang Hulu Yam dengan kos RM19 juta.

“Ini baru separuh siap terutamanya melibatkan jalan baru sebagai jalan alternatif kepada penduduk Kampung Bendahara, Selayang Mutiara dan Sungai Tua,” katanya.

Amirudin Shari menyerahkan Dana Mikro Usahawan Selangor kepada penerima ketika Majlis Perasmian MEXUS 2019 Daerah Gombak di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 9 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata demikian pada sidang media program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri giat menaik taraf jalan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun katanya, projek menaiktaraf oleh Kerajaan Negeri memerlukan pengorbanan pemilik struktur haram yang dibina di atas tanah rizab jalan.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan secara berhemah bagi mengatasi isu struktur haram terbabit.