Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lebih 70 individu disyaki positif Covid-19 di saringan tiga DUN

GOMBAK, 21 JUN: Kadar jangkitan Covid-19 menerusi Saringan Komuniti yang diadakan di Dewan Beringin Seri Gombak semalam masih tinggi melebihi kadar nasional.

Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berkata jumlah yang hadir seramai 1,200 orang dengan lebih 70 individu disyaki positif wabak.

“Bagi fasa ketiga ini tumpuan adalah di kawasan yang mempunyai kadar positif yang tinggi dari nasional dan ia diperoleh dari fasa sebelum ini.

“Sebagai contoh kadar positif di Sungai Tua dan Gombak Setia ini adalah tinggi pada saringan lepas iaitu enam hingga lapan peratus.

“Hari ini daripada 1,200 kita dapati 70 lebih yang positif dan masih melebihi kadar nasional dengan enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Saringan Komuniti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan di kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Amirudin berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring penduduk menerusi program fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM19 juta naik taraf jalan, bina jalan alternatif

GOMBAK, 10 NOV: Projek menaik taraf Jalan B23 membabitkan Jalan Sungai Tua mampu mengurangkan kesesakkan lalu lintas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek bernilai RM19 juta ini turut membabit pembinaan jalan baru sejauh 600 meter.

“Projek ini adalah menaiktaraf jalan negeri tetapi jalan baru campur jalan dinaik taraf dari Selayang Mutiara hingga simpang Hulu Yam dengan kos RM19 juta.

“Ini baru separuh siap terutamanya melibatkan jalan baru sebagai jalan alternatif kepada penduduk Kampung Bendahara, Selayang Mutiara dan Sungai Tua,” katanya.

Amirudin Shari menyerahkan Dana Mikro Usahawan Selangor kepada penerima ketika Majlis Perasmian MEXUS 2019 Daerah Gombak di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 9 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata demikian pada sidang media program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri giat menaik taraf jalan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun katanya, projek menaiktaraf oleh Kerajaan Negeri memerlukan pengorbanan pemilik struktur haram yang dibina di atas tanah rizab jalan.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan secara berhemah bagi mengatasi isu struktur haram terbabit.

Categories
SELANGOR

Proses pembinaan litar lumba di Sungai Tua berjalan lancar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Proses pembinaan sebuah litar lumba di kawasan Sungai Tua, Gombak seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 Negeri Selangor (Belanjawan’19) berjalan lancar dan akan diteruskan ke fasa pewartaan tanah di peringkat Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan menyelesaikan kerja ukur sebidang tanah berukuran 20 ekar yang dikenal pasti sebagai lokasi projek.

“Dengan selesainya proses ukur, kita akan membawa satu kertas kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk mewartakan tanah tersebut dan tanah tersebut akan kekal menjadi hak milik Kerajaan Negeri, bukan diberikan kepada pihak lain serta diwartakan dikawal oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan diselenggara oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Jadi segala penyeleranggaraan dan aktiviti di kawasan tersebut akan dipantau serta diuruskan MSN Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Menurutnya, lokasi litar ini terletak di jalan Gombak-Sungai Tua ke Ulu Yam dan jauh dari kawasan perumahan sekaligus tidak mendatangkan gangguan bunyi aktiviti sukan.

Mengulas perkara sama, Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya akan memulakan proses mereka bentuk litar selepas semua kerja tanah diselesaikan.

Katanya, MSN akan berbincang dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan litar yang siap kelak menepati spesifikasi penganjuran kejohanan besar.

Amirudin dalam ucapan pembentangan Belanjawan’19, 23 November lalu menyatakan litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba.

Categories
SELANGOR

Amirudin Shari tunai manifesto Sungai Tua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 10 MEI: Selepas diberi mandat menjadi wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Amirudin Shari berkata tumpuannya kini terarah kepada inisiatif melaksanakan manifesto yang pernah dijanjikannya kepada pengundinya.

Katanya, beliau tidak memerlukan tempoh yang lama sehingga lima tahu melaksanakan manifesto yang mefokuskan kepada lima teras pembangunan infrastruktur Sungai Tua.

“Saya tidak perlukan tempoh lima tahun untuk melaksanakan manifesto itu.

“Ia boleh dilaksanakan segera, dalam tempoh sebelum itu kerana sebahagian intipati manifesto itu sudah dilaksanakan di peringkat asas fasiliti Sungai Tua,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui Beliau hadir di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Umum (PRU14) Parlimen Gombak, di SMK Sungai Pusu, awal pagi ini.

Terdahulu, manifesto Amirudin untukmenjadikan kawasan itu sebagai penempatan sihat dan selamat untuk warga dan komunitinya.

“Saya komited untuk memperbanyakkan program kekeluargaan dan kesihatan yang memfokuskan seisi keluarga dengan lebih banyak peruntukkan kepada persatuan komuniti.

“Ia boleh disalurkan bagi menjayakan program kekeluargaan dan kesihatan yang memfokuskan seisi keluarga dengan lebih banyak peruntukan kepada persatuan komuniti untuk menjayakan program.

“Tidak dilupakan untuk saya membawa isu pendatang asing sekitar Sungai Tua agar Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan lebih tuntas dalam mengawal kebanjiran mereka serta menjamin keselesaan warganegara,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

‘Bunyi hon kereta’, Amirudin raih sokongan masyarakat Sungai Tua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 8 MEI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengadakan Flashmob jalanan menyeru pengundi N16 Sungai Tua kekal memilih calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Amirudin Shari sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Flashmob berkenaan menyaksikan pelbagai sepanduk dan plakad ditunjukkan kepada umum dengan siri kempen berkenaan disertai anggota dan sukarelawan parti.

Ia diadakan di Jalan Pekan Lama Batu Caves Sungai Tua sebagai inisiatif berterusan memastikan sokongan pengundi kekal kepada calon PAKATAN.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan turut membunyikan hon, sebagai tanda sokongan terhadap Amirudin, yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Amirudin diletakkan sebagai calon PAKATAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang berpotensi menang mengekalkan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

DUN Sungai Tua merupakan kerusi baru yang diperkenalkan di bawah penstrukturan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini.

Nama lama bagi kerusi berkenaan adalah, DUN Batu Caves yang menyaksikan populasi pecahan kaum terbesar di kawasan itu.

Bagi persaingan PRU14 ini, Amirudin berdepan saingan Datuk N Rawisandran (BN), Mohammad Ibrahim (PAS) dan Badrul Hisam (Bebas) yang melengkapkan saingan empat penjuru di DUN berkenaan.