Categories
AGENDA EKONOMI

CIMB tawar kelonggaran pelanggan terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 FEB: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd menawarkan kelonggaran kepada pelanggan yang terjejas daripada penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).

Dalam satu kenyataan, CIMB berkata pelanggan perbankan konsumer yang terkesan akibat Covid-19 layak untuk penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka bagi meringankan beban mereka.

Ia berkata pelanggan boleh melawat bank tersebut untuk berbincang dan menjadualkan semula pembayaran mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua kes akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Kami berharap bahawa semua langkah yang dilakukan ini akan memberi kelegaan kepada pelanggan yang terjejas. CIMB juga mungkin akan melanjutkan tempoh pembayaran bagi pelanggan, sekiranya perlu,” katanya.

Bagi pemegang polisi insurans/Takaful, rakan kongsi bankasurans CIMB (Sun Life Malaysia Assurance Berhad, Ahd Life Malaysia Takaful Bhd dan Berjaya Sompo Insurance) juga telah mengumumkan secara rasmi bahawa mereka akan melanjutkan perlindungan mereka di bawah dasar yang sedia ada (tertakluk kepada terma dan syarat polisi) bagi pemegang polisi yang terjejas berikutan Covid-19.

-BERNAMA