Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia bawa pulang warganya dari China, dikuarantin di Pulau Natuna

JAKARTA, 2 FEB: Indonesia hari ini membawa pulang 238 warganya dari wilayah Hubei, China, dan menempatkan mereka di Pulau Natuna bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Pesawat komersial penerbangan Batik Air yang membawa warga Indonesia dari Wuhan itu mendarat di Lapangan Terbang Hang Nadim, Pulau Batam, kira-kira jam 8.45 pagi waktu Indonesia Barat.

Beberapa media tempatan melaporkan kesemua mereka kemudiannya diterbangkan dengan menggunakan tiga pesawat tentera ke Pulau Natuna, Provinsi Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna, yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan, serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Setakat ini belum terdapat kes jangkitanĀ  koronavirus 2019 di Indonesia.

“Semua mereka dilaporkan sihat, bebas dari jangkitan. Kerajaan China juga menetapkan hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan keluar dari wilayah yang terkena wabak itu,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dipetik beberapa media tempatan hari ini.

-BERNAMA