Categories
AGENDA GLOBAL

WHO ucap tahniah kepada Wuhan, tiada pesakit Covid-19

GENEVA, 2 MEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menyambut baik berita mengatakan tiada lagi pesakit Covid-19 dirawat di Wuhan, China, dan memuji “usaha gigih tanpa mengenal erti penat” rakyatnya dalam berjuang melawan wabak itu, lapor agensi berita Xinhua.

Selepas bertarung selama lebih tiga bulan, akhirnya Wuhan, bandar raya yang paling teruk diancam wabak, berjaya menyelesaikan kes pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.

“Ia berita gembira yang amat dialu-alukan, tiada lagi kes serius, tiada lagi pesakit di Wuhan,” kata ketua teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO Dr Maria van Kerkhove pada sidang media maya di sini.

“Tahniah atas pencapaian ini,” katanya.

Beliau turut menghargai “usaha yang tidak mengenal erti penat” rakyat di Wuhan – “bukan hanya pekerja kesihatan tetapi individu yang tinggal di rumah, yang mematuhi langkah-langkah kesihatan awam.”

Beliau antara pakar yang menyertai kerjasama China-WHO dan melawat negara itu pada Februari berkata, “China telah berusaha gigih untuk membendung wabak Covid-19.”

“Saya ada di sana selama dua minggu, bekerja secara langsung dengan pegawai kementerian dan pegawai dari pelbagai sektor, saya lihat sendiri bagaimana gigihnya mereka untuk menurunkan jumlah kes,” katanya.

Pasa masa sama beliau menasihatkan penduduk Wuhan untuk “terus berwaspada.”

“Dunia telah belajar dari China dan juga perlu belajar dari Wuhan bagaimana mereka mampu melakukan sedemikian, bagaimana mereka berupaya membawa masyarakat kepada kehidupan biasa atau normal baharu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

SEPANG, 4 FEB: Pesawat khas yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak koronavirus 2019, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia, tiba pada 5.57 pagi.

Seramai 107 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus tersebut.

Pesawat khas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

Pesawat turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke pusat pemantauan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia bawa pulang warganya dari China, dikuarantin di Pulau Natuna

JAKARTA, 2 FEB: Indonesia hari ini membawa pulang 238 warganya dari wilayah Hubei, China, dan menempatkan mereka di Pulau Natuna bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Pesawat komersial penerbangan Batik Air yang membawa warga Indonesia dari Wuhan itu mendarat di Lapangan Terbang Hang Nadim, Pulau Batam, kira-kira jam 8.45 pagi waktu Indonesia Barat.

Beberapa media tempatan melaporkan kesemua mereka kemudiannya diterbangkan dengan menggunakan tiga pesawat tentera ke Pulau Natuna, Provinsi Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna, yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan, serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Setakat ini belum terdapat kes jangkitan  koronavirus 2019 di Indonesia.

“Semua mereka dilaporkan sihat, bebas dari jangkitan. Kerajaan China juga menetapkan hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan keluar dari wilayah yang terkena wabak itu,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dipetik beberapa media tempatan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan sedia bawa pulang 78 rakyat Malaysia di Wuhan

PUTRAJAYA, 29 JAN: Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China berikutan wabak koronavirus 2019 jika dibenarkan kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata untuk tujuan itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China, lapor Bernama.

“Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke sini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini dan jika dibenarkan pulang, mereka dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan bebas jangkitan koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman.

“Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga ingin menghantar barangan bantuan berupa makanan, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan ke Wuhan.

Katanya ini berikutan terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja.

“Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan,” katanya.

Ditanya secepat mana rakyat Malaysia di Wuhan boleh dibawa pulang, Dr Mahathir berkata ini bergantung kepada kebenaran daripada kerajaan China.

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Angka korban koronavirus di China meningkat kepada 106

WUHAN, 28 JAN: Jumlah kematian akibat koronavirus meningkat kepada 106 mangsa manakala 1,300 kes baharu disahkan kata pihak berkuasa China, lapor AFP.

Suruhanjaya Kesihatan di Wilayah Hubei, pusat epidemik, berkata 24 lagi kematian akibat virus berkenaan dan 1,291 orang dijangkiti, peningkatan kepada lebih 4,000 kes yang disahkan di seluruh negara.

Usaha kawalan jangkitan diperhebat di China bermula dengan penggantungan operasi pesawat, kereta api dan bas pada 22 Januari di Wuhan.

Wuhan sedang membina dua hospital baharu untuk menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat yang dijadualkan selesai minggu depan.

Virus baru ini menyebabkan gejala radang paru-paru termasuk batuk dan demam dan dalam kes yang lebih teruk berlaku sesak nafas.