Categories
EXCO SELANGOR

Pemohon Rumah SelangorKu perlu saringan AKPK

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemohon Rumah SelangorKu perlu melalui proses saringan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum dibenarkan membeli kediaman tersebut, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata program pengurusan kredit AKPK membolehkan penstrukturan semula hutang sedia ada pemohon selain memudahkan bank memberi pertimbangan untuk meluluskan pinjaman perumahan.

“Ia antara langkah mengatasi isu pemohon gagal mendapatkan pinjaman institusi kewangan disebabkan pelbagai masalah sehingga menganggu proses penjualan rumah.

“Saringan AKPK penting untuk menyemak status pemohon sama ada mempunyai tunggakan hutang atau sebaliknya termasuk mengetahui had kemampuan membeli rumah,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Dalam pada itu Haniza berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Smart Sewa bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk menyewa sambil menyimpan.

“Penyewa mendapat balik 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan apabila kontrak sewaan dua tahun tamat yang boleh digunakan sebagai bayaran deposit pembelian Rumah SelangorKu,” katanya.