Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kuis, Unisel hargai insentif makanan percuma

SHAH ALAM, 20 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel) menyambut baik insentif makanan percuma diumum Kerajaan Negeri bagi membantu mahasiswa yang tidak pulang ke kampung berikutan penularan wabak Covid-19.

Rektor Kuis, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata 180 pelajar tempatan dan antarabangsa yang masih tinggal di asrama memerlukan bantuan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Pengumuman ini sudah pasti melegakan mahasiswa yang sedang mengharapkan bantuan makanan daripada kerajaan memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan kampus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Majlis Perwakilan Pelajar bersama pengurusan kolej mencari jalan meringankan beban pelajar sejak dua hari lalu dan beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penuntut di universiti itu.

Katanya, bagaimanapun semua pelajar tempatan sudah pulang ke rumah masing-masing sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerana cuti semester.

“Pelajar antarabangsa pula ada pergi ke rumah kawan dan melancong manakala yang masih tinggal di asrama ialah 22 (kampus Shah Alam) dan 29 (kampus Bestari Jaya). Buat masa ini Hal Ehwal Pelajar menguruskan kebajikan mereka,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tujuh inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan.

Menerusi inisiatif keempat iaitu Memudahcara Urus Diri Mahasiswa, mahasiswa di Unisel, Kuis dan Kolej Antarabangsa INPENS yang tidak pulang ke kampung akan disediakan makanan percuma melibatkan keseluruhan bantuan RM2.3 juta bermula Ahad ini.