Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri prihatin nasib peniaga, penjaja – Sze Han

SHAH ALAM, 15 OGOS: Bantuan RM500 kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin adalah bukti keprihatinan terhadap golongan tersebut, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga melarang warga asing berniaga bagi memastikan peniaga tempatan meraih lebih keuntungan tatkala ekonomi terjejas akibat Covid-19.

“Langkah tersebut selaras aspirasi Kerajaan Negeri untuk melindungi peniaga dan penjaja kecil, malah kita pastikan setiap dasar memberi impak positif kepada rakyat.

“Dakwaan kita tidak membantu golongan penjaja adalah tidak betul, mungkin ada keputusan tidak mendapat sokongan atau tidak memuaskan hati pihak tertentu tetapi kita cuba selesaikan sekiranya ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta daripada RM40 juta insentif yang diperuntukkan kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah pakej bagi menangani kesan Covid-19.

Selangor turut meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 2007 bagi melarang warga asing berniaga di negeri ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Insentif RM500 tidak diagih, ada salah guna lesen penjaja

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM10 juta daripada RM40 juta insentif diperuntukkan kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19.

EXCO Pembangunan Usahawan berkata ini berikutan bantuan RM500 tidak disalurkan sepenuhnya kerana siasatan mendapati terdapat salah laku berhubung pengeluaran dan penggunaan lesen perniagaan.

“Sepatutnya bantuan ini diberikan kepada 80,000 peniaga dan penjaja kecil berlesen tetapi tidak mencapai sasaran, kita terpaksa tangguhkan sebab ada pihak salah guna lesen.

“Siasatan mendapati ada peniaga diberikan lesen tetapi tidak berniaga, sebaliknya menyewakan kepada pihak lain,” kata Rodziah Ismail ketika ucapan penggulungan di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sedang melaksanakan proses pemutihan lesen berkaitan sebelum bantuan tersebut disalurkan semula.

“Ini membezakan kerajaan Pakatan Harapan dengan parti lain, kita tidak beri duit sesuka hati, kalau kita tidak telus duit RM40 juta ini sudah tentu habis,” katanya.

Ketika membentangkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa satu pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan dana RM40 juta untuk melaksanakan insentif khas kepada peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kerajaan Negeri menyasarkan 80,000 peniaga dan penjaja berlesen akan menerima manfaat tersebut.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Manfaat insentif RM500 kepada penjaja, peniaga kecil diperluas

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri bersetuju meluaskan manfaat insentif RM500 sekali bayar di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin kepada peniaga berlesen yang menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia melibatkan kategori pasar tani, kios, semua jenis gerai, medan selera dan pasar awam yang dikuatkuasakan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, UUK Pasar dan UUK Establishment Makanan sahaja.

“Manfaat ini terhad kepada lesen sah tahun 2020 yang diluluskan sehingga 20 Mac sahaja.
“Namun, Kerajaan Negeri setuju agar tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 7 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan Negeri menyasarkan 80,000 peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan menerima bantuan sekali bayar RM500 seorang. Bantuan itu dibuat melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

Bagaimanapun, penjaja hanya layak membuat satu permohonan walaupun mempunyai lebih daripada satu lesen atau permit dari pihak berkuasa tempatan berbeza.

Pertanyaan berhubung bantuan boleh dibuat menerusi talian 1-800-22-6600 (24 jam) atau emel kepada [email protected].

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pakej Selangor Prihatin 2.0: Bantu rantaian makanan tidak putus – EXCO

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan Kerajaan Negeri mampu mengelakkan rantaian bekalan makanan terputus, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata pakej itu turut memberi peluang kepada warga tani untuk memasarkan hasil seperti biasa termasuk mengekalkan kualiti produk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan Selangor tidak mahu pendapatan golongan ini terjejas walaupun dalam suasana PKP kerana pergerakan mereka agak terbatas.

“Justeru saya menggesa supaya petani, penternak atau nelayan yang ada masalah lebihan bekalan segera hubungi pejabat saya atau agensi berkaitan dengan kadar segera.

“Untuk hari ini sahaja kita sudah beli empat tan keledek daripada Hulu Chuchoh dan ia dipasarkan menerusi Pasar Agro Selangor,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 5,000 petani dan nelayan diberikan bantuan khusus Agroprenuer berjumlah RM500,000 bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19.

Selain itu, 2,000 daripada mereka juga dibantu melalui pengagihan benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin diumum minggu depan

SHAH ALAM, 26 MAC: Pengumuman fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 kepada golongan yang terkesan dengan pandemik itu akan diumumkan minggu depan.

“Pengumuman fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin akan diumumkan minggu hadapan,” kata
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan ringkas malam ini.

Sebelum itu, beliau mengumumkan pelaksanaan Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi bermula esok bagi mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual.

Program yang bakal memanfaatkan 300,000 pengguna diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan berkonsepkan penghantaran atau beli sendiri.

Pada 20 Mac lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 membabitkan tujuh inisiatif bernilai RM127.78 juta, yang memanfaatkan petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Insentif khas Kerajaan Negeri beri sokongan moral buat penjaja

SHAH ALAM, 23 MAC: Pemberian insentif khas Kerajaan Negeri kepada penjaja mampu memberi sokongan moral dalam mengharungi cabaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata bantuan RM500 disediakan tentunya dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas rezeki akibat wabak Covid-19.

“Tidak dinafikan kawalan pergerakan ini secara langsung memberi impak terhadap kesan ekonomi, dalam konteks penjaja dan peniaga kecil yang bergantung kepada sumber pendapatan harian.

“Namun pelaksanaan perintah itu perlu dipatuhi bagi mengelak penularan Covid-19 bertambah serius, oleh itu mengikut kemampuan Kerajaan Negeri, kita bersama membantu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 dengan salah satunya adalah pengecualian sewa kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban.

Turut disediakan adalah pemberian khas RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing. Permohonan akan dibuka pada 1 hingga 30 April ini dengan pengagihan dilaksanakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

Keseluruhan inisiatif itu membabitkan kos RM52 juta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tangguh bayar sewa tiga bulan, rakyat hargai keprihatinan MB

SHAH ALAM, 21 MAC: Peserta Skim Smart Sewa menyifatkan penangguhan bayaran tiga bulan di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 membuktikan Kerajaan Negeri peka terhadap kesusahan rakyat.

Beberapa penyewa yang bakal menerima manfaat itu berterima kasih kepada pentadbiran negeri yang meringankan beban mereka pada saat sukar.

Pekerja swasta Zulhelmi Idris, 37, berkata inisiatif itu membantu golongan sepertinya yang bergantung kepada komisen sebagai tambahan pendapatan bulanan.

“Saya menguruskan dokumen permohonan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer yang kini ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi sekarang saya hanya dapat gaji asas, justeru penangguhan bayaran ini meringankan beban golongan seperti saya. Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang memahami kesukaran rakyat,” katanya yang menyewa di Apartmen Azaria, Bandar Parkland, Klang.

Seorang lagi penyewa di Pangsapuri Kiara, Setia Alam, Ahmad Zulfadhli Mad Sah, 33, berkata penjimatan melalui penangguhan bayaran sewa digunakan untuk keperluan lain seperti penjagaan diri.

“Dalam menghadapi situasi sekarang, kita mungkin perlu berbelanja bagi penjagaan diri serta keluarga seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 dan membeli barangan keperluan harian.

“Jadi penangguhan bayaran sewa ini benar-benar meringankan beban kami,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sedia talian bebas tol Pakej Rangsangan Prihatin Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri menyediakan talian bebas tol sebagai rujukan pengguna susulan
pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19, semalam.

Pakej membabitkan tujuh inisiatif dengan peruntukan RM127.78 juta memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Berikut adalah insentif dan talian bebas tol yang boleh dihubungi:

1. Pemberian insentif sekali bayar RM200 kepada petugas yang dikenal pasti terlibat di hospital seluruh negeri

Agensi terlibat: Pemerbadanan Menteri Besar
Talian bebas tol: 013 456 0262

2. Pemberian khas sekali bayar RM500 dan pengecualian sewa kepada penjaja atau penyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) selama sebulan. Permohonan dibuka mulai dari 1 hingga 30 April 2020.

Agensi terlibat: Unit Perancang Ekonomi Negeri dan semua PBT
Talian bebas tol: Rujuk PBT berkaitan

3. Penangguhan bayaran dan penstrukturan semula pinjaman Skim Hijrah Selangor

Agensi terlibat: Hijrah Selangor
Talian bebas tol: 017- 424 9734 (Siti)
014 – 216 5950 (Ihsan)
010 – 432 1071 (Kai)
012 – 627 3713 (Sya)
012 – 993 7120 (Fatin)

4. Insentif mahasiswa IPT Selangor di Sabah dan Sarawak

Agensi terlibat: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM)
WhatsApp: 019- 774 2852
011- 1005 8447
012- 687 4227
017- 365 6878
017- 655 1854

5. Program makanan percuma kepada mahasiswa Selangor di Unisel, Kuis dan Kolej Inpens bermula 22 hingga 31 Mac

Agensi terlibat: Pemerbadanan Menteri Besar
Talian bebas tol: 013 456 0262

6. Penangguhan dan penstrukturan semula bayaran sewa Skim Smart Sewa

Agensi: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB)
WhatsApp: 016- 330 0474 (Unit Korporat)
016- 226 2483 (Bahagian Khidmat Pengurusan)
016- 226 2381 (Bahagian Perancangan Pembangunan)
019- 333 0976 (PHSSB-Skim Smart Sewa)

7. Pelanjutan tempoh akhir pembayaran cukai tanah atau petak dari 31 Mei kepada 30 Jun 2020

Agensi terlibat: Pejabat Tanah Galian Selangor
Talian bebas tol: 1 800 88 2624

8. Peningkatan had belanja program atau aktiviti mesra rakyat

Agensi terlibat: Unit Perancang Ekonomi Negeri, semua PBT, Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN)
Talian bebas tol: Rujuk Pusat Khidmat ADN

Categories
AGENSI SELANGOR

Pakej Rangsangan Selangor: Unisel alukan insentif, bantuan makanan

SHAH ALAM, 21 MAC: Universiti Selangor (Unisel) mengalu-alukan pemberian insentif sara diri RM200 dan bantuan makanan kepada mahasiswa yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata inisiatif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 itu memberi kemudahan kepada pelajar dalam menangani kesan wabak.

“Unisel amat mengalu-alukan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan Kerajaan Negeri. Pihak kami yakin insentif ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah membantu menangani kesan Covid-19.

“Unisel turut menyeru semua warga universiti mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid-19 seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 51 pelajar antarabangsa berada di kolej kediaman Bestari Jaya serta asrama Unisel Shah Alam, manakala selebihnya cuti semester.

“Bagaimanapun, mereka dilayan dengan baik oleh pihak pengurusan kolej dan diberi bekalan secukupnya,” katanya.

Seramai 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak menerima insentif RM200 setiap seorang, manakala penuntut di Unisel, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens yang tidak pulang ke kampung diberi makanan percuma.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tangguh bayar sewa tiga bulan, bantu stabil pendapatan

SHAH ALAM, 21 MAC: Penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi peserta Skim Smart Sewa bermula April membantu menstabilkan pendapatan mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata inisiatif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 itu berikutan ada golongan yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh perintah tersebut.

“Rata-rata penyewa di bawah skim itu berpendapatan bawah RM5,000 dan ada gaji harian, justeru mereka tidak dapat bekerja selama 14 hari, maka sudah tentu pendapatan terjejas.

“Ini cara kita bantu mereka stabilkan kembali pendapatan dan apabila sudah stabil dalam tempoh tiga bulan, mereka boleh bayar sewa seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Haniza berkata keadah permohonan inisiatif akan ditentukan dalam masa terdekat di bawah kendalian Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd.

“Pelaksanaan mungkin menggunakan kaedah dalam talian atau ke pejabat dan kita masih pantau perkembangan semasa kerana ada kemungkinan tempoh perintah kawalan dilanjutkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kuis, Unisel hargai insentif makanan percuma

SHAH ALAM, 20 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel) menyambut baik insentif makanan percuma diumum Kerajaan Negeri bagi membantu mahasiswa yang tidak pulang ke kampung berikutan penularan wabak Covid-19.

Rektor Kuis, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata 180 pelajar tempatan dan antarabangsa yang masih tinggal di asrama memerlukan bantuan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Pengumuman ini sudah pasti melegakan mahasiswa yang sedang mengharapkan bantuan makanan daripada kerajaan memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan kampus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Majlis Perwakilan Pelajar bersama pengurusan kolej mencari jalan meringankan beban pelajar sejak dua hari lalu dan beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penuntut di universiti itu.

Katanya, bagaimanapun semua pelajar tempatan sudah pulang ke rumah masing-masing sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerana cuti semester.

“Pelajar antarabangsa pula ada pergi ke rumah kawan dan melancong manakala yang masih tinggal di asrama ialah 22 (kampus Shah Alam) dan 29 (kampus Bestari Jaya). Buat masa ini Hal Ehwal Pelajar menguruskan kebajikan mereka,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tujuh inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan.

Menerusi inisiatif keempat iaitu Memudahcara Urus Diri Mahasiswa, mahasiswa di Unisel, Kuis dan Kolej Antarabangsa INPENS yang tidak pulang ke kampung akan disediakan makanan percuma melibatkan keseluruhan bantuan RM2.3 juta bermula Ahad ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan Hijrah lega ansuran pinjaman boleh ditangguh tiga bulan

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebahagian usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) lega berikutan bayaran ansuran pinjaman boleh ditangguh sehingga tiga bulan.

Saidatun Nadia Husni, 33, yang mengusahakan perniagaan lori dan bas sejak 2014 mengakui tempahan agak perlahan akibat penularan Covid-19.

“Lori dan bas tidak boleh bergerak jika tidak kita ditahan polis. Justeru, pendapatan juga berkurangan agak banyak tetapi inisiatif itu cukup melegakan saya.

“Alhamdulillah, terima kasih beri kelonggaran ini. Sekurang-kurangnya pendapatan yang saya peroleh boleh buat pusingan untuk bayar gaji pekerja dan kos selenggara bas serta lori,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pagi tadi, ansuran pinjaman 40,000 usahawan Hijrah ditangguhkan serta-merta.

Kerajaan Negeri menanggung implikasi kewangan RM70 juta bagi meringankan beban mereka. Ia sebahagian pakej RM127.78 juta untuk membantu pelbagai golongan.

 

Pemilik kedai runcit Sitaz Trading & Services di Sabak Bernam, Siti Zubaidah Husni, 59, turut berpuas hati dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar yang membantu usahawan.

Beliau berkata inisiatif itu memberi kemudahan kepada mereka berikutan perniagaan semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan dibuat berikutan penularan wabak.

“Walaupun penangguhan tiga bulan tetapi saya rasa ia sudah memadai untuk kami peserta Hijrah pulihkan pendapatan,” katanya yang dua kali membuat pinjaman.