Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Isu banjir selesai beri kesan positif hartanah, pelancongan

SHAH ALAM, 9 MAC: Penyelesaian isu banjir memberi kesan positif kepada pelaburan hartanah dan sektor pelancongan seterusnya menjana ekonomi negeri, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata penyiapan projek tebatan banjir di TTDI Jaya Shah Alam pada 2008 antara contoh pembangunan yang berjaya meningkatkan nilai hartanah sehingga mencecah ratusan ribu.

“Penjagaan morfologi sungai mengikut keadaan asalnya penting untuk memelihara habitat asal flora dan fauna di mana kawasan sungai yang indah menarik pelancong,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu melaksanakan kerja penyelenggaraan tebing sungai menggunakan kaedah mesra alam untuk mengekalkan keadaan asal tempat berkenaan seperti pembangunan kelip-kelip di Kampung Kuantan, di sekitar Sungai Selangor.

Amirudin berkata potensi Sungai Klang dimajukan sebagai ‘enjin pembangunan’ dengan meluluskan Pelan Induk Pembangunan Sungai Klang atau ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) pada Mac 2018.

Katanya melalui pelan induk pembangunan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer itu mampu menarik pelabur dalam dan luar negeri.