Categories
EXCO SELANGOR

Denggi: 22,180 kes libatkan 23 korban, pencegahan perlu dilaksana

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rakyat perlu melaksanakan langkah pencegahan denggi apabila sejak Januari hingga 12 April tahun ini terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu melakukan pembersihan di premis dengan menghapuskan bekas air bertakung yang menjadi tempat nyamuk membiak.

Katanya, langkah lain adalah semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di dalam kawasan rumah, memakai krim perlindungan dan meletakkan ubat jentik-jentik di tempat berisiko.

“Diharapkan kerjasama menyeluruh masyarakat membantu mengurangkan kes denggi dan mematuhi segala arahan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi Covid-19,” katanya.

Dr Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.