Categories
AGENDA BERITA UTAMA

PKP: Kawalan polis, ATM di Pasar Selayang

SHAH ALAM, 5 APRIL: Anggota polis dan tentera bakal ditempatkan di Pasar Selayang bagi memastikan semua pembeli mematuhi jarak sosial seperti ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil berikutan ada laporan berlakunya kesesakan ketika urusan jual beli dan diharapkan pengunjung mematuhi tatacara piawai (SOP) ditetapkan.

“Kita harap (pengunjung) di Pasar Selayang mematuhi SOP yang ditetapkan Kerajaan serta mengikuti arahan pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Pasar Ayer Hitam di Pulau Pinang yang sebelum ini sesak juga sudah mula mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dengan mengamalkan jarak sosial bagi mengekang penularan Covid-19.