Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong hargai komitmen, dedikasi tinggi jururawat bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di negara ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi perjuangan jururawat atas jasa bakti dan sumbangan mereka kepada keselamatan dan kesihatan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, khidmat dan pengorbanan tanpa mengira masa dan penat lelah, yang dihulur oleh para jururawat sebagai benteng utama bersama petugas barisan hadapan lain dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan dedikasi tinggi para jururawat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas merawat pesakit.

“Para jururawat adalah antara aset yang sangat penting bagi Kementerian Kesihatan dan negara. Syabas dan terima kasih atas perkhidmatan kesihatan dan jasa khidmat kepada masyarakat. Anda semua wira dan wirawati kami!,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram Istana Negara hari ini.

Sementara itu, dalam satu video berdurasi 2.27 minit, Raja Permaisuri Agong bertitah baginda amat menghargai pengorbanan semua jururawat yang sanggup mengetepikan nyawa sendiri demi membantu individu yang dijangkiti Covid-19.

Baginda turut mendoakan semoga Allah SWT membalas jasa semua jururawat yang memberi perkhidmatan begitu ikhlas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya tabik kepada semua jururawat yang jalankan tugas begitu berat ini, tidak kira kesihatan mereka sendiri. Saya doa semoga anda semua sihat walafiat tidak dijangkiti dan sama-sama kita mainkan peranan menghentikan rantaian Covid-19 ini,” titah baginda.

Pada akhir video berkenaan, Tunku Azizah turut mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua barisan hadapan yang beragama Islam.

-BERNAMA