Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

PdPR: Cara kreatif guru guna Instagram, YouTube tarik minat pelajar

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Apabila mencapai sahaja telefon pintar, pastinya TikTok, YouTube, Instagram, Twitter dan Facebook menjadi aplikasi wajib dilayari yang membuatkan gajet itu tidak lekang daripada tangan setiap hari.

Bagi sesetengah pengguna, aplikasi berkenaan seolah-olah ‘dunia’ bagi mereka, lebih-lebih lagi Generasi Z (mereka yang dilahirkan pasca milenia, pertengahan 1990an -2000), untuk mencurahkan idea dan kreativiti mereka, selain membaca berita dan maklumat terkini tanpa sempadan.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan ibu bapa dan guru berasa risau terhadap kelekaan generasi ini yang terlalu banyak menghabiskan masa melayari media sosial setiap hari sehinggakan mengabaikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sebagai langkah mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan ketika PdPR, para guru juga terpaksa menyesuaikan teknik pengajaran sesuai dengan cita rasa generasi muda.

Sebagai contoh, guru Bahasa Melayu Pusat Tuisyen Math Clinics, Saliza Ibrahim, 34, tidak ketinggalan untuk menggunakan Instagram dan Twitter untuk mengadaptasikan pengajarannya secara kreatif kepada pelajar-pelajarnya ketika PKP.

Mesra dipanggil ‘Cikgu Zack’, beliau memberitahu Bernama, sebagai tenaga pengajar, sudah menjadi amalan untuk beliau berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja, sama ada menerusi media sosial ataupun bersemuka dengan pelajar.

“Disebabkan PKP, saya mula mencari satu medium untuk kekal memberikan ilmu kerana sudah terbiasa mengajar dan memang suka mengajar. Jadi saya memulakan idea untuk berkongsi tip-tip Bahasa Melayu mudah menerusi media sosial.

Pelajar orang kelainan upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi PdPR di Kampung Mengabang Lekor pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA

“Tambahan pula, tempat kerja saya sudah mula memperkenalkan pembelajaran secara dalam talian ketika PKP dan telah membiasakan diri dengan kaedah pengajaran itu. Rasa sangat bersyukur kerana sambutannya amat menggalakkan,” katanya yang sudah berkhidmat selama lapan tahun dengan Pusat Tuisyen Math Clinics.

Betulkan sebutan menerusi Instagram

Pemilik nama Instagram dan Twitter ‘Zack Kirana’ itu dilihat sering berkongsi video untuk membetulkan sebutan perkataan dalam bahasa Melayu selain tip menguasai bahasa Melayu dengan betul.

Saliza juga sering muncul di kaca televisyen dan menjadi penceramah dalam seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Bahasa Melayu.

Menerusi video yang dimuatnaik itu, terserlah sifat serta peribadi Cikgu Zack ketika menyantuni soalan yang dikemukakan, sekali-kala diselitkan dengan kata-kata lucu dan berlawak jenaka, selain turut berkongsi mengenai perjalanan kehidupannya sebagai seorang guru.

Berkongsi tentang teknik pengajaran dalam media sosial, Saliza lebih suka melakukannya secara spontan dan dalam bentuk penerangan santai supaya pelajar mudah faham.

“Kaedah ini ialah pembuka kepada minat pelajar kerana media sosial merupakan medium yang paling dekat dengan jiwa mereka dan ia juga dapat memupuk minat mereka terhadap pelajaran.

“Ia sebenarnya lebih santai tetapi diakui, belum cukup padat untuk membantu pelajar bersiap-sedia menghadapi peperiksaan dan ulang kaji serta disiplin terhadap PdPR dengan guru sekolah juga sangat penting,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Beliau menambah, perkembangan pesat teknologi mendorong guru seperti diri beliau untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam PdPR agar teknik serta pendekatan dalam mengajar tidak dianggap ketinggalan zaman.

“Bagi guru yang ingin memulakan langkah pengajaran menerusi media sosial, rancangan kandungan penyampaian dan pastikan ia tepat serta elakkan daripada menyentuh perkara yang sensitif.

“Untuk PdPR pula, guru harus mewujudkan komunikasi dua hala ketika dalam kelas bersama dengan pelajar supaya mereka tidak berasa ada jurang perbezaan yang terlalu ketara antara corak pembelajaran di sekolah dengan PdPR,” katanya.

Guna YouTube untuk pengajaran PdPR

Guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, Pulau Pinang, Ng Kim Tee (she), memanfaatkan platform YouTube untuk memuatnaik video pengajarannya bagi memenuhi keperluan PdPR sepanjang PKP.

Beliau yang menggunakan nama ‘Çikgu Ng’ mempunyai pengalaman mengajar selama 28 tahun dalam Pengajian Perniagaan, Matematik dan Geografi.

Namun pengalaman itu belum cukup untuk membolehkan beliau menghasilkan video yang menarik untuk tujuan PdPR, sehinggalah beliau menyertai Akademi Youtuber (AYU) sejak November tahun 2020.

AYU adalah Pusat Tuisyen maya percuma yang ditubuhkan oleh E-Didik Malaysia bersama Kelab Guru Malaysia pada Julai 2020 dalam merealisasikan guru di seluruh negara sebagai YouTuber Pendidikan.

Dalam tempoh sembilan bulan sejak penubuhannya, ia mempunyai sekitar 10,000 orang ahli yang terdiri daripada guru pelbagai subjek di seluruh Malaysia.

Muhammad Nur Izzat Ismail (tengah) bersama adiknya Putri Nur Alya Batrisyia (kiri) menggunakan tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew untuk mengulang kaji pelajaran sambil diperhatikan ibunya di Flat DBKL Hang Tuah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Sewaktu tempoh PKP, saya banyak menggunakan video YouTube untuk PdPR dan Google classroom, jadi saya fikir mengapa saya tak hasilkan video saya sendiri, tentunya lebih baik untuk saya.

“AYU banyak membantu kami para guru untuk belajar menghasilkan video PdPR. Mereka mempunyai pasukan mentor yang hebat, yang bersedia berkongsi ilmu untuk kami mengeluarkan video kami sendiri, ” katanya.

Menurut Ng, perkara paling mencabar bagi beliau adalah peruntukkan masa kerana pada waktu siang, beliau perlu mengajar di kelas secara maya dan menghadiri tutorial AYU pula pada sebelah malam.

“Dalam AYU, kami merupakan guru sukarelawan yang diberi tempoh tertentu untuk menghasilkan video PdPR menggunakan segala ilmu yang ada dan pembahagian masa itu adalah sangat penting.

“Ada satu ketika, saya hampir berputus asa namun teruskan juga usaha untuk menghasilkan video saya sendiri. Saya terpaksa mencari masa untuk merakam video selepas selesai mengajar dan menonton video daripada guru lain bagi mendapatkan panduan.

“Saya cuba memastikan video saya padat dengan apa yang nak disampaikan dan tidak terlalu panjang. Saya juga turut memasukkan elemen berinteraksi dan mengadakan kuiz mini untuk menarik perhatian pelajar,” katanya.

Ng berkata beliau sering menggunakan video YouTube dalam PdPR kerana ada dalam kalangan pelajarnya menghadapi masalah internet di rumah menyebabkan mereka perlu memainkan semula video yang dgunakan ketika mengulangkaji pelajaran selepas kelas.

“Saya menggalakkan pelajar saya supaya ‘save’ terlebih dahulu supaya apabila internet mereka bermasalah, mereka boleh menonton kembali video pengajaran saya bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Usaha Ng dalam menghasilkan video pengajaran menerusi YouTube mendapat sambutan yang menggalakkan sama ada dalam kalangan pelajarnya sendiri ataupun pengikutnya dari sekolah lain.

“Saya berasa sangat puas dan gembira kerana segala penat lelah saya untuk menghasilkan video pengajaran mendapat tanda ‘like’. Bagi saya, menghasilkan sebuah video berdurasi lima minit adalah tidak mudah dan saya mengharapkan agar ilmu yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar saya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Reka e-poster antikeganasan gender, peluang menang RM1,200

SHAH ALAM, 19 DIS: Orang ramai diajak menyertai pertandingan reka bentuk e-poster Instagram sempena kempen 16 hari aktivisme melawan keganasan berdasarkan gender.

Menerusi poster dikongsi EXCO pembangunan wanita dan keluarga di Facebook, pertandingan bermula 25 November hingga 24 Disember terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur.

“Sudah siap, muat naik di Instagram dan jangan lupa letak tanda pagar
#selangorhapuskankeganasanterhadapwanita2020 dan #SelangorHentikanKeganasanHormatWanita2020,” tulis Dr Siti Mariah Mahmud.

Pemenang pertama bakal menerima RM1,200, naib juara (RM800) sementara tempat ketiga (RM500).

Berdasarkan syarat yang dikongsi, e-poster yang disenarai pendek akan diletakkan di Facebook Selangor Hentikan Keganasan dan Hormat Wanita untuk pilihan juri.

Pemenang akan diumumkan melalui mesej Instagram termasuk tarikh majlis penyampaian hadiah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong hargai komitmen, dedikasi tinggi jururawat bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di negara ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi perjuangan jururawat atas jasa bakti dan sumbangan mereka kepada keselamatan dan kesihatan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, khidmat dan pengorbanan tanpa mengira masa dan penat lelah, yang dihulur oleh para jururawat sebagai benteng utama bersama petugas barisan hadapan lain dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan dedikasi tinggi para jururawat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas merawat pesakit.

“Para jururawat adalah antara aset yang sangat penting bagi Kementerian Kesihatan dan negara. Syabas dan terima kasih atas perkhidmatan kesihatan dan jasa khidmat kepada masyarakat. Anda semua wira dan wirawati kami!,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram Istana Negara hari ini.

Sementara itu, dalam satu video berdurasi 2.27 minit, Raja Permaisuri Agong bertitah baginda amat menghargai pengorbanan semua jururawat yang sanggup mengetepikan nyawa sendiri demi membantu individu yang dijangkiti Covid-19.

Baginda turut mendoakan semoga Allah SWT membalas jasa semua jururawat yang memberi perkhidmatan begitu ikhlas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya tabik kepada semua jururawat yang jalankan tugas begitu berat ini, tidak kira kesihatan mereka sendiri. Saya doa semoga anda semua sihat walafiat tidak dijangkiti dan sama-sama kita mainkan peranan menghentikan rantaian Covid-19 ini,” titah baginda.

Pada akhir video berkenaan, Tunku Azizah turut mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua barisan hadapan yang beragama Islam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Denda RM6,000 balasan aibkan polis di Instagram

KUANTAN, 9 MAC: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang suri rumah menjelaskan denda RM6,000 selepas mengaku salah mengaibkan pegawai polis di laman sosial Instagram (IG), kira-kira dua bulan lepas.

Majistret Nor Izzati Zakaria memerintahkan Aini Syanina Ismail, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Aini Syanina dari Felda Lepar Hilir 3, Gambang di sini didakwa melakukan kesalahan itu kepada Inspektor Faizal Basri yang menjalankan tugasnya di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 4.30 pagi, 12 Januari lepas.

OKS didakwa telah menyebut perkataan “bodoh polis bodoh” semasa merakam video menerusi IG stories menggunakan akaun bernama Nanabeauty miliknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan denda ringan kerana dirinya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pekerja ladang dengan gaji bulanan RM800 selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

OKS yang difahamkan melakukan perbuatan itu selepas kereta suaminya disita kerana melanggar undang-undang, menjelaskan denda itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: Pengguna Facebook, Instagram dinasihat tukar kata laluan

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna Facebook dan Instagram untuk menukar kata laluan jika menerima dalam format teks yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman Facebook.

Dalam kenyataannya, SKMM berkata, permasalahan itu berlaku ekoran pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan Januari lalu.

“Menurut Facebook, kata laluan itu tidak boleh diakses oleh pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kata laluan terbabit telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

“Sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah itu penting dan berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan ‘Phishing’.

“Justeru, bagi menangani permasalahan itu, SKMM turut memantau perkembangan lanjut serta berhubung rapat dengan pihak Facebook
untuk sebarang isu berbangkit,” katanya.

Categories
GLOBAL

Pengasas bersama Instagram letak jawatan, rehat seketika selami kreativiti

ROCKVILLE 25 SEPT: Instagram semalam mengumumkan peletakan jawatan pengasas bersama laman media sosial itu, Kevin Systrom dan Mike Krieger, masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif serta Ketua Pegawai Teknikal.

Peletakan jawatan berkenaan berlaku hanya dalam beberapa bulan selepas pengunduran pengasas bersama Whatsapp, Jan Koum menyebabkan laman sosial Facebook yang juga pemilik Whatsapp kini beroperasi tanpa tunggak utama mereka.

Ia berlaku ketika Facebook berdepan kecaman berhubung kawalan keselamatan data pelanggan mereka dan cubaan menangkis penyebaran maklumat palsu, selain kecenderungan pengguna muda untuk menggunakan kaedah alternatif bagi berhubung dengan keluarga atau rakan-rakan.

Kebimbangan mengenai semua perkara itu turut menyebabkan keuntungan syarikat Facebook merudum dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat pada Julai lalu.

Systrom dalam entri terbaru di blog miliknya semalam berkata, beliau dan Krieger merancang untuk berehat seketika bagi ‘menyelami daya kreativiti masing-masing sekali lagi’.

Pengumuman peletakan jawatan dua individu berpengaruh syarikat berkenaan dibuat selepas perselisihan faham bersama Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg semakin kerap berlaku, membabitkan hala tuju Instagram.

Dalam satu kenyataan, Zuckerberg menyifatkan dua individu berkenaan sebagai ‘ketua produk yang amat luar biasa’.

“Saya banyak belajar daripada mereka berdua sejak enam tahun lalu dan ia satu pengalaman menyeronokkan. Saya mengucapkan selamat berjaya dan tidak sabar menunggu produk terbaru mereka selepas ini,” kata Zuckerberg.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

FB dan Instagram alami gangguan akses di AS, Eropah & Kanada

WASHINGTON 12 OKT: Pengguna Facebook (FB) dan Instagram di beberapa bahagian di Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada tidak dapat mengakses akaun masing-masing berikutan isu teknikal dihadapi rangkaian media sosial itu.

“Kami sedar sebahagian pengguna berhadapan masalah mengakses Facebook dan Instagram. Kami berusaha mengembalikan keadaan kepada normal secepat mungkin,” kata jurucakap Facebook, lapor REUTERS.

Terdahulu, DownDetector.com, yang memantau gangguan, menunjukkan ada lebih 12,000 aduan pengguna mengenai isu dengan penggunaan laman web.

Downdetector dalam laman webnya menyebut, 50 peratus pengguna melaporkan masalah untuk log masuk, manakala 40 peratus mengadu berhadapan isu akaun terpadam sepenuhnya dan 10 peratus lagi mengalami masalah gambar.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Facebook: Masalah teknikal punca gagal akses

GLOBAL 27 OGOS: Kegagalan pengguna mengakses Facebook dan Instagram seluruh dunia malam tadi adalah disebabkan isu teknikal

Agensi Berita Antarabangsa CNNMoney melaporkan Facebook yang juga pemilik Instagram mengesahkan kejadian dan berkata, mereka terus menyiasat punca masalah itu sebelum berusaha mengembalikan perkhidmatan untuk orang ramai.

Facebook turut meminta maaf atas sebarang kesulitan berkaitan masalah itu.

Bagaimanapun, tiada penjelasan diberi berhubung punca masalah teknikal yang dihadapi.

Facebook downDalam kejadian malam tadi, ramai pengguna di seluruh dunia menghadapi masalah apabila cuba membuka akaun masing-masing.

Laporan mula diterima http://downdetector.com bermula kira-kira 9 malam sehingga sejam kemudian.

Bagaimanapun, perkhidmatan kedua-dua laman sosial kini dipercayai sudah kembali normal.

=EZY=