Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: 1,500 sampel di PKPD Jalan Pasar Othman, kes positif kekal seorang

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 1,500 keputusan sampel diperoleh melalui saringan Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Pasar Othman, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata jumlah kes positif masih kekal seorang membabitkan warga tempatan semalam.

“Sehingga semalam, seramai 2,163 disaring membabitkan 1,562 warga tempatan dan 601 bukan warganegara.

“Saringan di Zon A, B dan C sudah selesai sepenuhnya dan keputusan keseluruhan dijangka diketahui esok (17 Mei),” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang terkesan dengan PKPD supaya terus bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama kepada semua agensi terlibat.

Katanya orang ramai yang tidak terlibat dengan perintah berkenaan pula perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan penularan pandemik itu.