Categories
AGENSI SELANGOR

MB minta penjelasan MBPJ isu kenaikan sewa Pasar Jalan Othman

KUALA LANGAT, 7 JUN: Kerajaan Negeri akan mendapatkan penjelasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung kenaikan sewa tapak Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

“Saya sedang menghubungi MBPJ untuk lihat kenapa keputusan itu dibuat dan bagaimana ia dilakukan.
Jika ada kewajaran untuk menilai semula keputusan tersebut, saya akan minta mereka berbuat demikian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran.

Semalam, sekumpulan peniaga mendakwa sewa tapak pasar dinaikkan daripada RM140 kepada RM400 sebulan berdasarkan notis pemberitahuan yang dikeluarkan MBPJ.

Pasar Jalan Othman dibuka semula kepada orang ramai bermula semalam selepas diarahkan tutup sejak 10 Mei lalu susulan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: 1,500 sampel di PKPD Jalan Pasar Othman, kes positif kekal seorang

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 1,500 keputusan sampel diperoleh melalui saringan Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Pasar Othman, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata jumlah kes positif masih kekal seorang membabitkan warga tempatan semalam.

“Sehingga semalam, seramai 2,163 disaring membabitkan 1,562 warga tempatan dan 601 bukan warganegara.

“Saringan di Zon A, B dan C sudah selesai sepenuhnya dan keputusan keseluruhan dijangka diketahui esok (17 Mei),” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang terkesan dengan PKPD supaya terus bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama kepada semua agensi terlibat.

Katanya orang ramai yang tidak terlibat dengan perintah berkenaan pula perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan penularan pandemik itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Pasar Jalan Othman mula jalani saringan Covid-19

PETALING JAYA, 10 MEI: Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah mula menjalani ujian saringan wabak Covid-19 pada kira-kira 4 petang ini.

Tinjauan Bernama mendapati, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan PPE telah membuat persiapan di pusat saringan seawal kira-kira 1 tengah hari tadi.

Selain itu, Bernama difahamkan terdapat kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing akan menjalani saringan itu yang dijangka mengambil masa selama lima hari.

Dalam pada itu, puluhan penduduk mula dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan Covid-19 bagi menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.

Tiga pusat saringan dibuka di tiga zon PKPD berkenaan iaitu Zon A di medan selera manakala Zon B di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh dan Zon C bersebelahan terminal bas.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman (PJO) di sini, menjadi kawasan terbaru yang dilaksanakan PKPD berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,200 bakul makanan diagih kepada penduduk, peniaga sekitar Pasar Jalan Othman

SHAH ALAM, 10 MEI: Sejumlah 1,200 bakul makanan diedar hari ini kepada penduduk di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata inisiatif dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu juga akan diberikan kepada pendatang asing dan pelarian.

“Diseru penduduk di kawasan itu dan Petaling Jaya khususya terus kekal tenang dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa. Adalah penting untuk anda terus kekal berada di rumah.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa penting bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 di kawasan itu yang kini sudah mencatatkan 26 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut berterima kasih kepada pihak yang membantu dan menyumbang kepada penyediaan bakul makanan tersebut.

“Terima kasih juga kepada sukarelawan yang bertungkus lumus menyiapkan bakul makanan dan mengedarkannya kepada keluarga memerlukan. Mereka termasuk Jabatan Ikatan Relawan (Rela), JKM, Datin Wong dari Childline, Mr Kok dan Rukun Tetangga PJ Old Town.

“Bagi sebarang bantuan makanan atau perubatan, boleh hubungi pejabat saya di talian 01111403861, kami turut bekerjasama rapat bersama JKM dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya.

Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan melaksanakan PKPD di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perintah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei, ini melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat positif Covid-19, orang awam ke Pasar Jalan Othman perlu disaring

SHAH ALAM, 1 MEI: Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengesan empat kes positif Covid-19 hasil daripada saringan Pasar Besar Jalan Othman yang tamat pada 29 April lalu, kata pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling.

Johary Anuar berkata sehubungan itu, peniaga dan orang awam yang mengunjungi pasar berkenaan sejak 5 hingga 18 April lalu dimestikan menjalani saringan.

“Pasar Besar Jalan Othman akan terus ditutup sehingga semua saringan selesai melibatkan 1,500 peniaga dan pekerja di situ,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Johary berkata 303 individu yang disyaki kontak rapat dengan kes Covid-19 di Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Taman Megah sudah menjalani ujian saringan virus.

Sebelum ini, Pasar Jalan Othman ditutup berikutan peniaga ikan berusia 51 tahun disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu manakala Pasar Taman Megah pula selepas itu berikutan seorang peniaga sayur dilaporkan positif wabak berkenaan.

Kedua-dua pasar berkenaan ditutup sekurang-kurangnya lima hari bermula 28 April lalu untuk pemeriksaan saringan dan proses sanitasi.