Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan sektor pembuatan susut tiga peratus pada Mac

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan penurunan tiga peratus kepada RM110.2 bilion pada Mac 2020 berbanding RM113.5 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jualan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merosot -7.4 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (-5.9 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-5.7 peratus).

Berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut 0.9 peratus atau RM1.1 bilion manakala bagi terma pelarasan musim, nilai jualan mencatatkan penurunan 9.5 peratus, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM339.4 bilion berbanding tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor itu pada Mac 2020 berjumlah 2.26 juta, peningkatan 1.2 peratus atau 27,541 pekerja berbanding 2.23 juta pekerja pada Mac 2019.

Menurut Mohd Uzir, gaji dan upah pada Mac 2020 berjumlah RM7.46 bilion dengan pertambahan 1.8 peratus atau RM130.5 juta pada bulan yang sama tahun lepas.

“Pada masa sama, nilai jualan per pekerja menguncup 4.1 peratus kepada RM48,815 berbanding bulan sama 2019. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,303 pada Mac 2020,” katanya.

Bagi suku pertama 2020, jumlah pekerja meningkat 1.2 peratus kepada 2.26 juta manakala gaji dan upah mencatat kenaikan 3.4 peratus kepada RM22.7 bilion. Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan itu naik satu peratus kepada RM150,368, kata beliau.

-BERNAMA