SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan sumbangan 288 pek keperluan susu bayi kepada penduduk Pangsapuri Angsana di USJ 1, dekat sini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
MPSJ berkata sumbangan termasuk kepada warga asing itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sumbangan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 dan USJ 5RA yang keseluruhannya bernilai RM17,000,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sumbangan disampaikan Ahli Majlis JKP Zon 4 MPSJ, Kamarul Hisham Yeop Hashim. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.
MPSJ berkata program itu turut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) Dharma Light dan KRT Angsana USJ 1.