Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beli belah ditutup langgar SOP perintah kawalan dibuka semula

JOHOR BAHRU, 26 MEI: Sebuah pusat membeli-belah yang diarahkan tutup kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, telah dibuka semula hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Aman Rabu, ketika mengesahkan perkara itu, berkata pusat beli-belah itu dibuka semula selepas Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima permohonan untuk beroperasi semula daripada pihak pengurusan premis tersebut.

“Betul, telah dibenarkan buka semula setelah permohonan mereka diterima dan pemantauan semula oleh pasukan penguat kuasa yang berpuas hati dengan SOP yang dipatuhi.

“Mereka telah mengemukakan permohonan itu pagi tadi,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau diminta mengulas surat kebenaran membuka semula premis itu yang tular di media sosial sejak petang tadi.

Semalam, pusat membeli-belah di Taman Desa Tebrau itu diarahkan tutup mulai 25 Mei sehingga 1 Jun depan kerana gagal mengawal pengunjung dalam premis selain tidak memastikan penjarakan sosial dipatuhi dan cecair pembasmi kuman digunakan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R Vidyananthan berkata pihak pengurusan boleh membuka semula premis sekiranya mematuhi SOP yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak kompromi kompaun ziarah raya

KUALA SELANGOR, 26 MEI: Polis Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kediaman yang membenarkan rumah mereka dikunjungi tetamu bagi tujuan ziarah Hari Raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan.

“Dalam operasi pemantauan kami semalam, tujuh kompaun telah dikeluarkan terhadap tuan rumah yang membenarkan rumah mereka dijadikan tempat menyambut Aidilfitri.

“Sekiranya kami mengesan kesalahan ini, tuan rumah jangan terkejut sekiranya anggota kami masuk ke rumah (pemilik) untuk beraya sekali dan tindakan kompaun akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah pada Aidilfitri, untuk hari pertama perayaan sahaja susulan PKPB yang bertujuan membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Fadzil berkata polis Selangor akan terus mempergiatkan operasi pemantauan PKPB berikutan masih ramai individu berdegil dan ingkar arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, kerana selain kesalahan ziarah Hari Raya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan yang melanggar PKPB dalam operasi semalam.

“Antara kompaun lain ialah 59 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan aktiviti memancing beramai-ramai di sebuah kolam pancing ikan di Hulu Selangor.

“Sebanyak 14 kompaun lagi dikeluarkan kepada pengunjung yang berkumpul di Pantai Remis, Jeram, di sini yang menjadikan keseluruhan kompaun semalam ialah 100 (kompaun),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis jalan operasi patuh PKPB di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 17 MEI: Polis mempergiatkan operasi di sekitar bandar raya ini bagi memastikan orang ramai terus patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam kenyataannya memaklumkan gerak kerja itu diatur menerusi sistem rondaan ‘Aberdeen’ Kereta Peronda Polis (MPV) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi ‘Ops Amaran dan Sapu’ bagi tujuan berkenaan.

“Operasi dijalankan di sekitar Pasar Besar Chempaka dan Pasar Taman Megah SS24 bagi membuat hebahan serta memberi arahan keras kepada sesiapa yang tidak mematuhi PKPB sebelum tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membantu bagi memeriksa lesen permit perniagaan yang sah setiap peniaga,” katanya melalui Facebook.

Kenyataan sama menjelaskan polis turut menjalankan pemeriksaan secara ‘snap check’ terhadap pengguna jalan raya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya terus mengekalkan disiplin dan tidak sewenang-wenangnya keluar rumah tanpa alasan munasabah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan rentas negeri, patuh SOP perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Jangan sekali-kali terlintas di fikiran untuk cuba merentas negeri tanpa kebenaran kerana tindakan anda itu boleh berakhir dengan dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Tambahan pula ketika ini sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara mula dilaksanakan dan orang ramai diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis telah mengenakan 144 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP.

Walaupun ramai menanggung rindu setelah lama tidak berjumpa keluarga di kampung sejak PKP fasa pertama dilaksanakan 18 Mac lepas, apatah lagi dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, perlu diingat bahawa percubaan merentas negeri bukan sahaja boleh menyebabkan individu dikenakan tindakan malahan mungkin menyumbang risiko kepada keluarga masing-masing.

Larangan rentas negeri itu bukan saja-saja hendak dilaksanakan, tetapi tujuannya adalah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan mereka berjumpa dengan keluarga, namun bagi golongan bujang kelonggaran itu masih belum dapat diberikan.

Walaupun tidak dapat bersua muka, bersyukurlah masih ada teknologi seperti laman media sosial dan aplikasi panggilan video yang boleh digunakan sebagai pengganti diri yang setidak-tidaknya dapat mengubat kerinduan kepada keluarga.

Hari ini adalah hari ke-12 PKPB dilaksanakan sejak 4 Mei lepas, dan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia ialah 6,855 kes dengan 112 kematian.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, usaha pemurnian data-data berkaitan Covid-19 sudah dijalankan dan satu sistem pangkalan data dikenali ‘eCovid’ telah dibangunkan.

Menerusi sistem itu, pengumpulan data daripada lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ sumbang 288 pek susu bayi untuk B40

SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan sumbangan 288 pek keperluan susu bayi kepada penduduk Pangsapuri Angsana di USJ 1, dekat sini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

MPSJ berkata sumbangan termasuk kepada warga asing itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sumbangan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 dan USJ 5RA yang keseluruhannya bernilai RM17,000,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sejumlah 288 pek susu bayi diagihkan Majlis Perbandaran Subang Jaya kepada penduduk golongan B40 di Pangsapuri Angsana, USJ.

Sumbangan disampaikan Ahli Majlis JKP Zon 4 MPSJ, Kamarul Hisham Yeop Hashim. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.

MPSJ berkata program itu turut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) Dharma Light dan KRT Angsana USJ 1.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais bantu 400 Orang Asli terkesan PKP Bersyarat

SHAH ALAM, 11 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyumbang bekalan makanan asas kepada 400 Orang Asli di daerah Petaling yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Agensi agama negeri itu memaklumkan program serahan melalui Badan Dakwah Daerah Petaling diserahkan di empat kawasan iaitu di Desa Temuan, Bukit Lanjan dan Damansara Perdana semalam serta di Kampung Rasau Hulu, Batu 14, Puchong diikuti Bukit Bandaraya, Shah Alam esok.

“Sumbangan ini bagi membantu meringankan beban Orang Asli terutama ketika tempoh PKPB yang menyukarkan mereka untuk bergerak selain merapatkan ukhwah antara Jais dan masyarakat berkaitan di daerah ini,” kata kenyataan itu.

 

Majlis serahan itu disempurnakan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Petaling, Hashim Muhamad yang turut dihadiri Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Penggerak Masyarakat Orang Asli.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Sekatan jalan raya jaga sempadan negara, negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis kini menumpukan pada sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri dan negara, selain operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)

Kawalan di sempadan negara bertujuan memastikan ia tidak diceroboh masuk warga asing manakala di sempadan negeri adalah bagi menyekat pergerakan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan,

Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata SJR di Johor kini turut tertumpu di kawasan pesisir pantai dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan migran, dengan keseluruhan 39 SJR di semua daerah.

Beliau berkata 4,200 anggota polis bertugas bagi PKPB berbanding 4,600 anggota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susun atur SJR juga akan dilakukan termasuk di jalan keluar dan masuk antara sempadan negeri.

“Kesemua 39 SJR merupakan di laluan utama. Ia termasuk kawasan di daerah-daerah yang menghadap pesisir pantai. Ini khusus untuk membendung penyusupan masuk migran dari negara jiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini.

Bekas Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Batu Kawa Kuching, Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu bagi menggantikan Datuk Shafie Ismail, yang bersara hari ini.

Sementara itu, Polis Perlis pula menggunakan kaedah pemeriksaan mengejut dan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mengesan orang ramai yang melalui lorong tikus dan ‘batas ban’ (jalan sawah padi) bagi mengelak SJR di semua pintu masuk utama ke negeri itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata kumpulan rondaan ini akan digerakkan memasuki semua 77 ‘batas ban’ dan lorong tikus yang terdapat di negeri itu iaitu sebanyak 49 di Kangar, 13 di Padang Besar dan lima di Arau.

“Walaupun tiada lagi penutupan jalan dan lencongan di jalan-jalan utama setelah PKPB, kita tidak mahu berlaku keadaan orang ramai bolos menggunakan lorong tikus dan batas ban,” katanya kepada Bernama di Kangar.

Surina berkata pihaknya meningkatkan rondaan di lorong tikus bagi memastikan tiada individu yang masuk ke negeri itu tanpa melalui SJR, atau mengelakkan warga asing masuk ke negara ini menerusi lorong tikus.

Polis Perak pula mengurangkan SJR daripada 102 sewaktu PKP kepada 30, dengan 13 daripadanya dibuat di sempadan negeri termasuk susur masuk atau keluar di lebuh raya, melibatkan sempadan Perak dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Pahang, dengan bantuan tentera darat bermula hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata polis juga meningkatkan pemantauan di tempat-tempat awam terutama di pasar raya dan stesen bas bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP semasa PKPB termasuk jarak sosial.

“Polis juga banyak memberikan khidmat nasihat kepada orang awam di tempat-tempat tumpuan serta pengusaha restoran dan kebanyakannya sudah faham mengenai SOP bagi bersama-sama melawan penyebaran wabak Covid-19,” katanya di Ipoh.

Razarudin berkata rondaan turut ditingkatkan di kawasan rekreasi dan taman permainan bagi mengelakkan orang ramai menjalankan sebarang akitiviti riadah berikutan Perak masih belum membenarkan penggunaan taman awam.

Bagi Kedah, orang awam di negeri itu bebas bergerak merentasi daerah termasuk ke Pulau Langkawi, namun perlu menitikberatkan SOP ditetapkan KKM terutama aspek jarak sosial.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata pematuhan terhadap SOP sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memastikan Kedah terus kekal berada dalam zon hijau.

“Sekatan jalan raya dikurangkan bermula hari ini dan tumpuan akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Kedah kerana perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf Kepada Barisan Hadapan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta cegah, kawal penyakit berjangkit masih berkuat kuasa – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 4 MEI: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih berkuat kuasa, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana ramai yang terkeliru seolah Akta 342 tidak lagi berkuat kuasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“PKPB ini sama juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lain. Akta ini terus berkuat kuasa dan hukuman tetap sama iaitu kompaun tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pemilik premis yang gagal patuhi tatacara operasi piawai (SOP) PKPB, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta 342, malah perniagaan mereka boleh ditutup,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu beliau berkata, peraturan yang diwartakan dalam PKP sebelum ini akan terbatal apabila ada peraturan baharu diwartakan.

“Contoh dalam PKP empat kita wartakan kebenaran dua orang ahli keluarga dalam satu kenderaan, jadi peraturan itu terbatal kerana kerajaan sudah wartakan peratuan baharu dalam PKPB iaitu kebenaran kepada 4 ahli keluarga dalam satu kenderaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah dibuka secara berperingkat, mulai 13 Mei

PUTRAJAYA, 4 MEI: Kes-kes yang telah ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah terbuka akan bermula secara berperingkat mulai 13 Mei ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat juga telah mengarahkan beberapa perkhidmatan di mahkamah di seluruh negara beroperasi bermula hari ini.

Antara perkhidmatan yang akan beroperasi adalah Pejabat Pendaftaran, Kaunter Setempat, Kaunter Pesuruhjaya Sumpah, Kaunter Surat Kuasa Wakil, Kaunter Biro Perkhidmatan e-Filing serta Bahagian Pengurusan dan Kewangan di Pusat Tanggungjawab dan Pusat Kos.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lepas dan surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat kerajaan dan sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan PKPMP, satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan wabak Covid-19 semasa tempoh PKPB dan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan akan dikeluarkan.

Mahkamah juga akan memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa dipatuhi sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam menjalankan operasi mahkamah.

Semua pihak yang berurusan dengan mahkamah adalah dimohon untuk mematuhi arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, MKN dan KKM.

Pihak terlibat boleh menghubungi Pejabat Pendaftaran Mahkamah/ Bahagian untuk sebarang pertanyaan melalui e-mel dan nombor telefon seperti berikut:

Mahkamah Persekutuan: [email protected] (03-88803561)
Mahkamah Rayuan: [email protected] (03-88804045)
Mahkamah Tinggi Malaya: [email protected] (03-88803704)
Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak: [email protected] (088-286100)
Mahkamah Rendah Malaya: [email protected] (03-88809418)
Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak: [email protected] (082-442228)
Media dan Perhubungan Awam: [email protected] (03-88804607)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Kerajaan pantau keperluan barangan import

RANTAU PANJANG, 4 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menilai semula keperluan untuk mengimport barangan hasil pertanian, terutamanya dari Thailand apabila sektor ekonomi kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai hari ini.

Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keperluan untuk mengimport barangan itu tidak begitu besar, kerana bekalan pertanian tempatan mencukupi.

“Kebergantungan kepada (barang) import dari luar mungkin tidak berlaku perubahan yang banyak (jika ada). Kita akan lihat keperluan itu, apabila beberapa sektor terutama ekonomi kembali beroperasi,” katanya.

Terdahulu Che Abdullah mengadakan lawatan ke pusat pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini, semalam.

Beliau juga melakukan pemeriksaan perjalanan barangan pertanian termasuk sayur, buah dan hasil laut dari Thailand, untuk menampung permintaan rakyat negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan kekal larangan balik kampung rentas negeri untuk Aidilfitri

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan kekal tidak membenarkan perjalanan rentas negeri untuk balik kampung sempena perayaan Aidilfitri, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei mengekalkan larangan sedemikian kecuali atas urusan tertentu.

“Kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini

Beliau berkata aktiviti keagamaan seperti perarakan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Senarai lengkap aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara yang disemak dari masa ke semasa bergantung perkembangan kes jangkitan Covid-19.

Kerajaan hari ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin dengan amalan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan ketat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Hampir semua aktiviti ekonomi, sosial dibenar mulai Isnin

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin ini, kata perdana menteri.

Namun, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kegiatan sedemikian perlu dilakukan secara berhati-hati termasuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata keputusan dibuat berikutan ramai mahu kembali bekerja atau berniaga berikutan mereka terputus mata pencarian dalam tempoh hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini penting kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.

Namun, beliau berkata beberapa jenis perniagaan kekal dilarang termasuk panggung wayang, pusat karaoke dan refleksologi, pusat hiburan, taman tema, bazar Ramadan dan Aidilfitri, karnival jualan serta semua bentuk persidangan dan pameran.

Perdana menteri mengakui ramai juga bimbang jika PKP ditamatkan kerana virus Covid-19 masih ada serta tetap terdapat risiko peningkatan kadar jangkitan.

“Saya telah bincang perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung Covid-19,” katanya.